PENGUASAAN mutlak Johor Darul Ta’zim (JDT) FC (jersi biru) sepanjang musim 2022 tidak menggambarkan saingan sengit dan kualiti Liga Malaysia yang dimahukan majoriti peminat tanah air. – Foto MFL
PENGENALAN dua pilihan waktu sepak mula Liga Malaysia 2023 sebelah petang di Semenanjung dan Sarawak-Sabah, dianggap satu pembaharuan yang cukup mesra para peminat dan kalangan penggiat media.
Pilihan sepak mula 5.15 atau 5.30 petang dan 4.30 atau 4.45 petang turut mampu meningkatkan angka tontonan di pelbagai pelantar media, kata Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Manap.
“Lebih banyak pilihan sepak mula waktu petang oleh penganjur, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ini memang telah lama dinanti-nantikan para peminat bola sepak tanah air.
“Penjadualan ini turut menambah kekerapan peminat untuk menontonnya sehingga sebelah malam, macam EPL (Liga Perdana England) dalam semalam ada sehingga dua tiga perlawanan pada waktu yang berbeza,” katanya kepada BebasNews, hari ini.

Dua lagi pilihan waktu sepak mula Liga M 2023 merangkumi Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Pencabar dan Piala MFL ialah 8.15 atau 9 malam (Semenanjung) dan 7.30 atau 8.15 malam (Sarawak-Sabah).
Liga Malaysia 2023 bermula dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah antara Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 24 Februari ini yang turut memberikan mata pertama Liga Super.
Setiausaha Agung SAM, Asan Ahmad pula mengalu-alukan keprihatinan MFL meluaskan pilihan sepak mula sebelah siang kerana kebanyakan media cetak kini menetapkan batas waktu untuk bahan siaran mereka pada lewat petang.
“Kalau daripada segi liputan media, main petang akan meluaskan ruang liputan Liga M dalam media cetak kerana kebanyakan offstone (tempoh akhir cetakannya) antara pukul 6 petang atau 7 malam.
“Mungkin masih ada ruang liputan oleh media dalam talian (online) yang tidak memerlukan offstone untuk publisiti Liga M namun peranan media cetak arus perdana masih tidak boleh dinafikan kerana kadar tertentu pembacanya,” katanya yang juga bekas pengarang sukan sebuah akhbar.

Asan walau bagaimanapun mengingatkan MFL bahawa apa yang turut penting dan sentiasa menjadi ‘magnet’ atau daya tarikan tontonan ialah pengisian Liga Malaysia iaitu persembahan pasukan-pasukan dan kualiti bola sepaknya.
“Main petang atau malam bukan satu masalah. Yang penting ialah apa yang dipersembahkan semua pasukan dan kualiti permainan dalam misi melonjakkan kembali bola sepak negara.
“Setiap kelab Liga M sudah bertaraf profesional (FC) dan mampu sesuaikan diri tanpa masalah bermain petang atau malam.
“(Banyakkan sepak mula petang) bukan alasan bagus untuk tarik penonton kerana resminya para peminat kita hanya membanjiri stadium apabila pasukan sokongan mereka masuk separuh akhir dan final,” katanya.
Minat para penonton Liga M katanya turut semakin menumpul apabila masih ada kelab-kelab yang gagal melunaskan gaji pemain dan jurulatih seperti Sarawak United FC dan Melaka United FC yang langsung kempunan saingan musim 2023. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.