
KALAU dah namanya artis apa juga yang mereka lakukan pasti akan menarik perhatian para peminatnya. Walaupun kadangkala apa yang berlaku tidak ada kena dengan karier mereka tetapi sekadar melalui rutin kehidupannya pada usia emas.
Begitu jugalah dengan vokalis Lefthanded, Datuk Nashrudin Elias atau lebih dikenali Nash selepas berakhirnya Hijrahkan Laguku sebuah program realiti TV terbitan TV Alhijrah yang menerapkan nilai-nilai murni menerusi lirik yang digubah semula daripada lagu asal. Walaupun program yang telah melabuhkan tirainya pada 9 Januari tahun lalu, tetapi ingatan segar para peminat penyanyi berkenaan pada keputusan akhir itu tidak mungkin dapat ‘dipadamkan.’
Pada pentas akhir itu yang menemukan empat artis hebat seperti Nash, Iwan Shahman, Shahir Zawawi dan Mark Adam telah menobatkan Shahir Zawawi sebagai Juara.
Sejak itu, ada yang membuat andaian penyanyi yang sinonim dengan lagu “Pada Syurga Di Wajahmu” merajuk kerana ramai yang meramalkan beliaulah juara!
Meskipun ramai telah tahu keputusan telah memihak kepada Shahir Zawawi apabila beliau dinobatkan sebagai Juara Hijrahkan Laguku tetapi apa yang pasti Nash masih tetap di hati para peminatnya.
Jika tidak mana mungkin sehingga hari ini masih ada yang menganggap keputusan itu membuatkan penyanyi kesayangan mereka merajuk dari dunia seni.
“Sebenarnya perasaan merajuk itu tidak pernah timbul dalam diari hidup saya. Sebagai orang seni kita kena akur dengan apa sahaja keputusan dan yang berlaku pada diri kita.
“Bagi saya yang penting apa matlamat sebenar kita menyertai sesuatu program realiti itu. Saya setuju sertai Hijrahkan Laguku kerana ada ciri-ciri berdakwah dalam program berkenaan.
“Ia merupakan platform yang amat ketara sebab juri yang dibawa selain Fauzi Marzuki, orang yang cukup dikenali dalam bidang seni turut serta ialah para ustaz yang berkaliber yang ada info tentang agama dan layak untuk tafsirkan tentang Hijrahkan Laguku seperti lirik yang dihasilkan yang memberi manafaat kepada para penonton,” jelas Nash apabila ditanya apakah benar beliau merajuk, ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Nash, program berkenaan satu usaha yang sangat baik dan satu platform yang indah kerana melalui seni orang seni harus meletakkan diri mereka dari segi ‘track record’ mereka untuk berdakwah dalam menyampaikan lirik lagu.
“Kalah menang adalah adat bertanding tetapi dalam soal pemilihan atau tangan-tangan ghaib dan usaha untuk meletakkan seseorang itu berjaya atau menentukan kemenangan, bukan soal kita.
“Bagi saya yang penting kita berdakwah melalui seni. Mengenai kemenangan tentu kita rasakan kita boleh tetapi kita tidak tahu kekurangan kita. Tetapi saya yakin penonton dan masyarakat dapat menilai kekalahan itu. Penilaian masyarakat itu meletakkan siapa kita yang sebenarnya dan kolaborasi diantara artis dengan stesyen TV dijalinkan dengan jayanya.
“Bagi saya bohonglah kalau nak kata tiada sifat kecewa dari segi pengadilan apabila ada yang mempersoalkannya. Tetapi apabila sudah tertulis sesuatu keputusan itu kita kena reda.
“Namun yang penting saya masih berada dalam industri dan berdakwah melaluinya. Bukan itu sahaja malah TV Alhijrah masih menjemput saya untuk bersama dalam program terbitan mereka dan jika mereka menjemput saya pada musim kedua nanti saya lebih selesa menjadi pengadil,” akui Nash.
Bagaimanapun kata Nash jika stesyen TV lain menganjurkan pertandingan lagu dakwah beliau tidak akan menolak kerana ia adalah platform terbaik untuk berdakwah apalagi kebanyakan lagu nyanyiannya berunsur dakwah.
Lefthanded dan lagu dakwah
Menurut Nash, sembilan puluh peratus lirik lagu nyanyiannya berunsur dakwah antaranya ‘Zahir Tak Terucap, Nur Hidayah, Asli. Lagu Seruan pula jelas menceritakan tentang Azan Subuh yang mengajak kita mengerjakan solat.
Sementara lagu ‘Ku Di Halaman Rindu dan Pada Syurga Di Wajahmu’ mengenai isteri yang ‘diduakan’ cintanya tetapi akhirnya si suami menyesal kerana yang kedua tidak menjanjikan kebahagiaan.
Apabila ditanya apakah dengan menyertai program berkenaan menambahkan peminatnya daripada genre berbeza, sambil tersenyum Nash berkata;
“Lefthanded memang sudah ada penggemarnya cuma mungkin generasi baharu tidak tahu tentang Nash seorang rockers yang pakai seluar ketat, berambut panjang dan menyanyi menjerit-jerit.
“Tetapi yang penting lagu-lagu kami pada tahun 1980-an masih ‘evergreen’ dan ‘diterima pakai’ sehingga tahun 2023. Ini bermakna ada sesuatu yang istimewa mengenai lagu-lagu tersebut terutama keindahan lirik dan pengubah lagunya. Ini satu pencapaian yang hebat tidak seperti kebanyakan lagu sekarang hanya sebulan dua sahaja meletup.”

Menyentuh mengenai kumpulan rock dahulu seperti Lefthanded yang masih relevan sehingga hari ini, Nash memberitahu;
“Dalam sebuah kumpulan ‘teamwork’ memainkan peranan penting. Saya bukan mahu menyalahkan artis sekarang regit pada diri sendiri. Kebanyakan mereka bertindak sebagai ‘one man show’ semua nak buat sendiri iaitu menyanyi, menulis lirik dan sebagai komposer kerana MACP (Music Authors Copyright Protection Berhad/ Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia) yang mana semua ‘benefit’ dan pendapatan menjadi milik sendiri.
“Kita kena guna pakai kedudukan orang luar yang ada bakat untuk memberi kesinambungan persembahan untuk diterjemahkan kepada pendengar dan penonton. Itu penting kerana kejayaannya lebih banyak berbanding solo dan sebab itu Lefthanded masih kekal sehingga hari ini dan dalam kumpulan ini, saya yang paling tua dan tiada masalah.
“Dalam sebuah kumpulan silaturrahim amat penting dan Man Kidal masih bersama. Memang ada desas-desus Yan tidak bersama kami dan netizen marah. Tetapi ini soal dalaman diantara kumpulan Lefthanded. Saya nak terjemahkan masalah ini…saya dah tua. Bagi saya siapapun yang masuk saya boleh terima sebab percaturannya kita mahukan muzik yang dipersembahkan Lefthanded adalah untuk penonton dan mereka yang membeli album dan menghargai karya kami.
“Bagi saya soal peribadi dan kesefahaman hendaklah kita ungkap dengan sebetulnya. Lefthanded adalah Lefthanded dan selain ‘teamwork,’ perundingan tetap ada cuma kita kena buang sifat-sifat muda dan harus sedar kita semakin tua dan mahu mencari rezeki masing-masing. Tidak salah jika kita buang jauh-jauh apa yang tersirat di zaman muda. Muzik itu indah dan janganlah disulitkan kerana masalah peribadi.”
Disamping berdakwah dengan menyanyi, kini Nash sertai jemaah tabligh bersama dR Sam kerana bagi beliau berdakwah itu penting, ia ibarat tangan kanan dan tangan kiri dan bagaikan darah yang mengalir dalam tubuh.
“Disamping itu dakwah bukan dalam agama sahaja sebab apabila kita bercakap tentang agama untuk menuju ke arah kebaikan ia ada di mana-mana. Jika keadaan mengizinkan saya bercadang merakamkan album kolaborasi bersama para sahabat dan mereka yang dari program Hijrahkan Laguku antaranya Ali XPDC, Zul Handyblack, Izam, Iwan dan Shahrul,” beritahu Nash mengenai usaha kesinambungannya daripada program berkenaan.
Apabila ditanya mengenai pasangan hidup, Nash yang telah menduda lebih 15 tahun dan ayah kepada tiga orang anak – Fareena Nasha, 33, Najeeha Nasha, 31, dan Muhammad Shameer Nasha,26, yang juga datuk kepada tujuh orang cucu iaitu Muhammad Khaleef Nasha, Kyra Rose Nasha, Muhammad Mikhael Nasha, Mashael Aurelia Nasha, Muhammad Idrees Nasha dan Mardhiya Adellia Nasha, berkata;
“Setelah dua kali gagal dalam perkahwinan saya pernah berkenalan dengan seorang wanita tetapi saya yakin dia bukan jodoh saya.
Jika diizinkan-Nya, saya inginkan seorang wanita yang memiliki nilai iman kerana Allah dan mempunyai sifat seperti Khadijah dan Siti Aishah. Saya sedar untuk mendapatkan seorang wanita yang saya impikan itu tidak mudah namun saya reda dan sentiasa berdoa kepada Allah.”
— BebasNews

Muzlina Abu Bakar bekerja selama 35 tahun dengan syarikat Utusan Melayu. Daripada 35 tahun itu, 32 tahun membuat liputan dalam bidang hiburan sebagai Wartawan Hiburan, Penolong Pengarang URTV, Penolong Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia dan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia. Muzlina bersara wajib pada 29 Mac 2013.