ADA yang dipecat dan ada yang digantung. Itulah hasil ‘kebijaksanaan’ keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Nama-nama besar seperti Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dipecat sementara Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Shahril Suffian Hamdan pula digantung selama 6 tahun.

Keputusan ini juga menimbulkan tanda tanya kerana pemilihan UMNO bakal berlangsung tidak lama lagi. Mungkinkah ini usaha awal untuk menyingkirkan mana-mana ahli yang dianggap bakal mengancam dan tidak sehaluan dengan presiden.

Sehubungan itu, perlukah diadakan pemilihan UMNO, tentunya lebih baik dilantik sahajalah mana-mana ahli yang seiring dengan pucuk pimpinan parti di semua peringkat sehingga MKT.

Namun begitu, ini adalah realiti politik masa kini apabila pemimpin UMNO dilihat cuba menyelamatkan diri sendiri.

Pada masa sama, sebagai seseorang yang berjiwa politik kental dan melawan, KJ dan Noh tidak akan sekadar menjadi pemerhati sahaja.

Tidak dinafikan sebagai pemimpin politik yang popular dan muda, KJ misalnya mampu untuk membuat ‘comeback’ seperti mana k Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Masa bakal menentukan keputusan ini merupakan satu bijaksana atau kebebalan yang akhirnya memakan diri UMNO sendiri terutamanya dengan menjelang enam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Sebenar ramai ahli UMNO diakar umbi yang sudah lelah dan bosan dengan apa yang berlaku terutamanya dengan pemimpin utamanya lebih mengutamakan diri sendiri dan dianggap tidak bercakap jujur kepada mereka.

Namun begitu tidak ramai ahli UMNO yang benar-benar memiliki jiwa pejuang yang ‘berdarah Hang Jebat’. Apatah lagi apabila politik wang seringkali dikaitkan dengan UMNO.
Pengumuman pecat-thon yang didakwa sebagai pembersihan dalaman parti sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan. Namun begitu, tentunya menarik sekali untuk melihat percaturan yang seterusnya.

Mereka yang dipecat mungkin tidak menyertai mana-mana parti lain kerana kesetiaannya tetap pada UMNO, lagi pun sukar juga untuk bersaing dengan pemimpin parti-parti lain yang sebelum ini seteru politik mereka.

Namun dalam politik segalanya mungkin, sejauh mana ‘Pecat-thon’ bakal menguatkan UMNO atau terus menggawatkan parti tertua di Malaysia, hanya masa yang bakal menentukan episod yang seterusnya.

Jom sama-sama kita saksikan. – BebasNews

Leave a Reply