binary, one, cyborg
Photo by geralt on Pixabay Gambar hiasan

KUALA LUMPUR — Krenovator Technology Sdn. Bhd. telah memperkenalkan Abraham iaitu Pembantu Pengekodan AI (“AI coding assistant”) di platform digitalnya yang dilancarkan akhir tahun lepas.

Abraham mampu memberi maklum balas dan cadangan masa nyata kepada pengguna, membantu mereka meningkatkan kemahiran pengekodan atau “coding” dengan lebih cekap dan berkesan.

Ia juga membolehkan pengguna membangun perisian baharu pada kadar yang lebih cepat daripada kaedah konvensional. Abraham adalah percuma untuk diguna.

Antara keupayaan utama Abraham adalah untuk membantu pengguna melengkapkan kod yang belum selesai serta mengesan sebarang sintaks atau kesilapan semantik dalam kod.

Ketua Pegawai Eksekutif Krenovator, Mahadhir Yunus, berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan Abraham kepada dunia. Sebagai penyedia platform latihan “coding”, kami sering menerima banyak pertanyaan daripada pengguna kami. Banyak pertanyaan unik menjadi cabaran untuk kami sediakan jawapan secara cepat, selain terdapat soalan-soalan yang berulang-ulang.

“Situasi ini telah memberi inspirasi kepada kami untuk sediakan suatu kaedah pembelajaran yang lebih bijak dan cekap untuk membuat kod. Objektif kami adalah untuk menawarkan bantuan bersasar kepada pembangun perisian di seluruh dunia supaya mereka dapat mencipta penyelesaian berkualiti tinggi dan inovatif.”

Pada masa ini, Abraham menyokong pengaturcaraan “full stack” yang meliputi 17 bahasa pengaturcaraan dan rangka kerja popular termasuk Frontend, Backend, pangkalan data, API, Angular, DevOps, Flutter, .NET, PHP, Python, Java, dan Javascript. Krenovator sedang berusaha untuk memperluaskan senarai itu.

“Kami gembira kerana kerja-kerja yang bermula pada awal 2022 untuk membangunkan Abraham akhirnya membuahkan hasil sekarang. Sama ada pengekod atau “coder” junior yang cuba membetulkan masalah dalam kod atau “coder” yang sudah mahir yang ingin memeriksa kod mereka, Abraham boleh membantu bila-bila masa,” jelas Mahadhir.

“Kami melihat bahawa Abraham berpotensi menjadi bantuan sokongan barisan hadapan dalam hal “coding,” katanya.

Krenovator merancang untuk memperkenalkan versi perusahaan (enterprise) “AI coding assistant” pada masa akan datang.

Platform “Tech Talent” Krenovator menawarkan modul “coding” dan latihan percuma yang dibangunkan oleh Syarikat. Ia juga baru-baru ini bekerjasama dengan Coursera untuk membolehkan pengguna mendapatkan pensijilan. Platform itu kini mempunyai lebih daripada 3,000 bakat teknologi dari Malaysia dan Indonesia.

— BebasNews

Leave a Reply