MOHAMAD Sabu (tengah) dan Tengku Ahmad Badli Shah (tiga kanan)bersama pelajar sekolah yang menerima sumbangan itu di Desa Latania, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

SHAH ALAM — Pengimportan telur ayam akan dihentikan sekiranya pengeluaran dan bekalan bahan asas itu kembali stabil dalam tempoh terdekat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penjelasan lanjut mengenai perkara itu sudah dinyatakan kementeriannya hari ini.

“Saya tidak jawab tambahan melainkan yang tersedia ada (kenyataan (kementerian). Itu sahaja.

“Jika pengeluaran telur stabil, kita akan stop (berhenti). Jadi, kita harap ia stabil dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bantuan Wang Persekolahan Agrobank di Desa Latania di sini, petang tadi.

Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan kelengkapan persekolahan dan wang tunai RM150 kepada 200 pelajar sekolah rendah di sekitar Parlimen Kota Raja.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan tidak memberikan subsidi atau menggunakan sebarang dana awam untuk diberikan kepada syarikat pengimport telur ayam di negara ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan sebarang perbelanjaan dan risiko dihadapi syarikat pengimport itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak berkenaan.

Pada 6 Disember lalu, Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara mencukupkan kekurangan bekalan telur tempatan yang  meruncing sejak Oktober lalu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan memberi kontrak import telur dari India secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sekali gus bercanggah dengan janji Kerajaan Perpaduan.

Jelas Mohamad lagi, pengimportan turut melibatkan bahan lain seperti daging dan kubis.

“Apabila kurang (bekalan), kita akan meminta untuk mengimportnya lagi. Namun, keadaan itu tidak sama bagi telur ayam,” ujarnya.

Katanya lagi,Agrobank meluluskan 77 permohonan moratorium berjumlah RM22 juta kepada petani dan pesawah di Terengganu dan Pahang yang terjejas banjir tahun lalu.

“Bank berkenaan sedang memproses sebanyak 90 permohonan baharu bernilai RM10 juta bagi tujuan sama.

“Agrobank setakat ini bagaimanapun belum menerima sebarang permohonan moratorium daripada petani dari Johor yang turut terjejas banjir,” katanya.

— Bebas News

Leave a Reply