Selak Hassan Md NoorPEMILIHAN UMNO, sampai pada hari kemuncaknya apabila kira-kira 190,000 perwakilan akan memilih barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang baharu bagi sesi 2023-2026 pada hari ini, 18 Mac 2023.

Walaupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) memberi kemenangan percuma kepada penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, perebutan jawatan tetap meriah terutama bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 25 ahli MKT.

Untuk rekod, lapan orang menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden termasuk dua penyandang iaitu Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid.

Enam lagi adalah Azalina Othman Said, Reezal Merican Naina Merican, Johari Abdul Ghani, Wan Rosdy Wan Ismail, Hasni Mohammad dan Mohd Yusof [email protected]

Manakala 95 calon menawarkan diri untuk 25 ahli MKT di samping jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Siapa jadi pilihan? Adakah hanya yang berjawatan di dalam kerajaan – menteri, timbalan menteri, atau wakil rakyat sahaja menjadi pilihan? Secara tradisinya begitu tetapi realiti politik hari ini sudah berubah.

Apa nasib bekas menteri dan bekas wakil rakyat yang hakikatnya masih berpotensi sebagai pemimpin tetapi kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu? Adakah mereka disingkirkan hanya kerana bukan wakil rakyat?

Minggu lalu pemilihan bagi sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri selesai dengan menampilkan muka baharu bagi pimpinan Pemuda dan Puteri manakala Wanita mengekalkan penyandang.

Sepanjang kempen pemilihan, calon-calon telah menjelajah ke seluruh negara untuk memperkenalkan diri bersama pemimpin di samping kempen melalui media sosial dalam pelbagai bentuk sama ada risalah atau video.

Dan tidak kurang juga ada pihak yang menyebarkan menu atau cai bagi mempengaruhi perwakilan memilih calon-calon yang disenaraikan.

Khabarnya ada beberapa cai atau menu yang disebarkan untuk mempengaruhi perwakilan. Maka yang tersenarai akan rasa lega kerana ia satu promosi manakala yang tidak tersenarai masih tenang walaupun mempertikaikannya atau marah.

Cai, macai, pencacai tidak ada dalam kamus Dewan tetapi digunakan terutama dalam kalangan orang politik. Yang ada cincai.

Tidak dinafikan cai sedikit sebanyak akan membantu kemenangan secara berpasukan tetapi pada masa yang sama membantu kekalahan seseorang calon yang mungkin lebih baik daripada calon yang ada dalam menu berkenaan.

Sebelum ini pada peringkat awal menjelang pencalonan, Setiausaha Pemuda, Hasmuni Hassan, yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO membariskan anggota pasukannya ‘Berani Bangkit’,

Beliau antara lain menamakan Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga ADUN Larkin, Hairi Mad Shah, sebagai calon Naib Ketua Pemuda dan ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai setiausaha.

Bagaimanapun pasukan itu tidak menjadi kenyataan apabila Hasmuni menarik diri dan memberi laluan kepada Dr. Muhamad Akmal.

Tidak salah untuk membentuk satu pasukan tetapi bagaimana jika seseorang yang berkebolehan atau berkelayakan yang sepatutnya mendapat tempat tidak disenaraikan, mungkin kerana pendiriannya agak ‘songsang’ dengan kepemimpinan?

Menu atau cai menjadi lebih mudah mempengaruhi perwakilan jika mereka yang disenaraikan dilihat ‘sebulu’ dengan pemimpin utama iaitu Presiden yang sudah dipilih kecuali perwakilan mempunyai pandangan tersendiri.

Peranan cai mungkin berbeza jika jawatan Presiden itu turut dipertandingkan dan perwakilan boleh membuat pilihan atas pertimbangan mereka.

Cai mungkin menyebabkan seseorang perwakilan atau pengundi tidak berfikir panjang untuk memilih kerana ia hanya perlu mengundi calon berdasarkan senarai ‘nama’ atau ‘nombor’ yang telah tersedia dalam senarai yang diberikan.

Justeru pengundi atau perwakilan perlu lebih berpengetahuan dan bermaklumat dalam membuat keputusan sebelum mengundi berpandukan cai-cai yang ada.

Jangan menjadi pencacai atau macai (sering digunakan dalam politik walaupun tidak ada dalam kamus), iaitu yang dikatakan merujuk kepada orang atau pengikut yang terlalu taksub terhadap seseorang atau pemimpin parti politik.

Ingat pemilihan ini amat penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan UMNO selepas dua kali tersungkur dalam PRU dan gagal membentuk kerajaan secara mutlak walaupun sekadar menjadi ‘penumpang’.

Justeru, perwakilan yang mengundi hari ini tidak boleh dilihat sebagai macai atau pencacai yang akan memilih pemimpin secara cincai hanya berpandukan cai.

Pemilihan ini adalah proses untuk memilih pemimpin terbaik di antara yang baik dan ia satu proses demokrasi bagi memantapkan parti, bukan untuk memecahbelahkan parti apabila yang menang akan menang semua dan kalah akan kalah semua.

Selamat memilih.

— BebasNews

Leave a Reply