TEMPOH 43 minit, 19 dan 13 mata di Arena Utilita, Birmingham, England, malam ini.

Hanya angka-angka itu yang diberikan kepada Lee Zii Jia (gambar atas) sebelum langkahnya dihentikan Shi Yu Qi dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2023.

Kemenangan 21-19, 21-13 buat pemain China itu turut meleburkan hajat perseorangan utama negara untuk mengulangi final edisi 2021 yang pernah dijuarainya.

Turut terkesan ialah rekod pertemuan mereka yang kian menjauhi Zii Jia, pemain nombor empat dunia, kepada empat kekalahannya berbalas satu sejak Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2018.

Pemain bebas Malaysia ini hanya pernah menumpaskan lawan di ranking ke-12 dunia itu dalam suku akhir Master Malaysia 2020 di Arena Axiata, Bukit Jalil, 12-21, 21-16, 21-19.

Namun separuh akhir Seluruh England ini masih yang terbaik buat Zii Jia dalam tahun ini berbanding tersingkir awal dalam Terbuka Malaysia, Terbuka India, Master Indonesia dan Terbuka Jerman.

Dia walau bagaimanapun berpeluang memperbaiki prestasi itu apabila Terbuka Switzerland membuka tirainya Selasa ini di St. Jakobshalle, Basel dengan berdepan Li Shi Feng dari China.

Awal pagi ini (waktu Malaysia), kemaraan perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong juga disekat Shi Feng 11-21, 11-21 pada suku akhir Seluruh England selama 41 minit. — BebasNews

LEE Zii Jia bakal ke Basel untuk menyertai Terbuka Switzerland, Selasa ini yang bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300, lebih rendah daripada Seluruh England, Super 1,000. – Foto BP/BAM

Leave a Reply