
Oleh Dr Ahmad Ismail
KALAU nak dikatakan orang Melayu kalah, memang sudah lama orang Melayu selalu mengalah apabila bercakap tentang perkauman. Orang Melayu tinggi semangat toleransi dan sifat sabar.
Sejak lama dahulu orang Melayu terlalu baik dengan orang yang datang ke tempat mereka. Orang Melayu sangat menjaga adab berkaitan kejiranan, tetamu dan persaudaraan.
Gabungan budaya Melayu dan Islam dalam kehidupan seharian orang Melayu menjadikan Melayu lebih sopan dalam menyantuni tetamu. Sifat hormat, melayan dan menjaga hati tetamu sudah menjadi amalan tradisi Melayu.
Orang Melayu melayani tetamu dan mendahulukan tetamu dalam banyak hal sehingga tetamu selesa berada dalam masyarakat orang Melayu dan membina keluarga mereka.
Orang Melayu bukan malas tetapi orang Melayu adalah orang yang sederhana dalam banyak segi, tidak gelojoh, jimat cermat, tidak membazir, menjaga alam sekitar malah kehidupan orang Melayu menjamin kelestarian kehidupan umum.
Melayu terus nampak kalah kerana garis optima kesederhanaan, hidup jimat cermat dan persaingan keperluan telah berubah akibat daripada tidak seimbang dalam keperluan kehidupan semasa, sifat gelojoh, tamak, menopoli dan berbagai lagi dalam dasar luar yang baharu.
Melayu sekarang mesti sedar keadaan semasa yang telah berubah daripada dahulu dan mesti mampu terus berubah berkadar dengan keperluan dan persaingan semasa disamping seiring pengetahuan dan teknologi yang pesat berkembang.
Orang Melayu sangat memerlukan kualiti kepimpinan dan tenaga pikir yang lebih mampu memimpin dan membawa Melayu ke hadapan dan terus maju dalam era teknologi dan gaya hidup yang mencabar.
Bidang penting semasa dan masa hadapan, jangka pendek dan panjang mesti dikenalpasti segera untuk kelestarian kehidupan orang Melayu yang bernilai budaya, mampu bersaing dan mengekalkan kuasa.
Tukang pikir, tukang buat strategi, tukang kerja, tukang memantau dan tukang biaya perlu ada dan penting untuk pemimpin gunakan dalam memimpin orang Melayu. Sudah habis tempoh masa untuk seorang pemimpin yang pandai dan pakar rujuk semua bidang.
Konsep masyarakat dan mesyuarah mesti di kembalikan dengan lebih mantap dalam organisasi yang sedia ada atau organanisasi baharu secara sistematik dan berfungsi.
Cerita lama yang di tayangkan Almarhum Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali dengan nama Ramlee bin Puteh atau P. Ramlee mungkin boleh menjadi panduan. P. Ramlee yang merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik, dan penulis lagu Malaysia yang berpengaruh sepatutnya menjadi fokus penyelidik berkaitan budaya Melayu. Melayu kaya dengan seni dan bahasa.
Cerita, lagu dan lakunan P. Ramlee banyak mengajar orang Melayu sepanjang zaman sekiranya dapat di analisis dengan baik. Kisah cinta, jati diri, budaya bangsa, pengorbanan, pentadbiran negara dan jenaka boleh dikaji dan mengambil iktibar darinya.
Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Budaya Melayu dan Islam sudah menjadi satu dan selari dalam kehidupan sepanjang hayat. Sejarah masyarakat zaman Nabi Muhammad SAW selalu dirujuk dan diamalkan dalam semua aspek kehidupan mengikut kesesuaian dan tambah baik selari dengan zaman, kawasan, kominiti dan keperluan. Dosa dan pahala serta ganjaran syurga dan neraka sentiasa menjadi ingatan dan memandu budaya Melayu.
Bagi menjamin tradisi budaya Melayu berterusan dan mantap maka sistem pendidikan asas tentang budaya Melayu, Agama Islam dan kekeluargaan Melayu Islam mesti di lihat semula dengan segera. Pembangunan teknologi maklumat dan tekanan ekonomi akar umbi memberikan cabaran baharu dalam kelestarian budaya.
Pakar pendidikan mesti melihat tahap dan masa sesuai bagi membentuk kualiti masyarakat Melayu dalam merangka kurikulum pendidikan memandangkan sistem dan proses pendidikan rendah, menengah dan tinggi memerlukan masa yang panjang. Penekanan kebaya budaya, bahasa dan bangsa seiring dengan pembangunan pesat sains dan teknologi mesti diberikan penekanan.
Perubahan sistem pendidikan untuk pembentukan budaya bangsa, pentadbiran dan kuasa pemerintahan yang kita lihat sekarang mengambil masa yang lama. Kesabaran, kesungguhan, ketahanan dan komitmen yang tinggi diperlukan.
Maka pakar pendidikan mesti melihat perkembangan budaya, keperluan kehidupan dan persaingan kebangsaan serta antarabangsa disesuaikan dalam sistem pendidikan. Sistem selari mungkin diperlukan bagi orang Melayu dalam pendidikan masyarakat majmuk Malaysia terutama perigkat rendah dan menengah rendah.
Sekarang orang Melayu sudah ramai dalam bidang profesional dan pentadbiran walaupun masih belum cukup berbanding keperluan tenaga kerja negara. Dalam bidang pentadbiran negara, orang Melayu masih majoriti dan mengawal pentadbiran negara. Penglibatan orang Melayu dalam dunia korporat masih lagi berkurangan.
Tenaga kerja orang Melayu mesti terus kukuh dari segi kualiti kerja merangkumi Profesionalism, semangat jati diri dan muliakan budaya Melayu Islam yang murni, toleransi dan harmoni. Kualiti pentadbiran orang Melayu mesti ditingkatkan sesuai dengan zaman dan cabaran tanpa meninggalkan prinsip-prinsip asas Melayu.
Melayu mesti terus mempertahankan hak asasi Melayu dari segi budaya dan agama dalam semua ruang pendidikan, kerjaya, kuasa dan pemilikan hartanah. Mungkin wasiat Raja-Raja Melayu boleh dijadikan pedoman dan diperkasakan.
Cabaran-cabaran orang Melayu yang mengatakan sudah tertinggal dalam negara sendiri, tidak berkuasa lagi, dan tiada masa hadapan mesti dihadapi dan ditangani dengan baik dalam masyarakat majmuk Malaysia. Gunakan peluang, struktur organisasi dan kuasa yang ada untuk memastikan negara terus stabil, aman dan maju.
* Penulis ialah mantan Profesor UPM, yang mengkaji alam dan kehidupannya.
— BebasNews