MUKHAIRI Ajmal Mahadi (14) pernah menjadi kapten skuad belia Malaysia dalam Sukan SEA Vietnam dan Piala Asia Bawah 23, tahun lalu. – Foto FAM 

EMPAT tonggak senior Harimau Malaya disenaraikan E. Elavarasan dalam skuad pelatih Bawah 22 Tahun negara bagi menghadapi Piala Merlion 2023 di Singapura sebagai sebahagian persediaan menjelang Sukan SEA Kemboja.

Mereka yang ditagih pengalaman dalam membimbing rakan sepasukan ialah Mukhairi Ajmal Mahadi (perantara), V. Ruventhiran (bek kiri), Azam Azmi Murad (bek kanan) dan Rahadiazli Rahalim (penjaga gol).

Keempat-empatnya turut membantu Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala AFF 2022, Januari lalu di mana Elavarasan juga selaku penolong ketua jurulatih pasukan.

Mereka adalah antara 26 pelatih yang menjadi pilihan Elavarasan juga ketua jurulatih skuad Bawah 22 ke kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor mulai semalam menjelang Piala Merlion dari 24 hingga 26 Mac ini.

Senarai nama mereka termasuk 12 dalam senarai simpanan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khamis lalu.

Skuad B22 Malaysia dijadualkan berdepan B22 Kemboja dan pemenang antara B22 tuan rumah dan B22 Hong Kong bagi penentuan tempat ketiga atau perlawanan akhir di Stadium Jalan Besar, Singapura.

AZAM Azmi Murad (2) kerap membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya dalam Piala AFF, tahun lalu. – Foto FAM

Saingan bola sepak Sukan SEA Ke-32 di Phnom Penh, Kemboja berlangsung dari 29 April hingga 15 Mei ini, lebih awal dari hari pembukaan rasmi temasya serantau dwitahunan itu.

Sukan SEA Vietnam, tahun lalu menyaksikan skuad belia negara pulang tangan kosong dari Hanoi apabila sekadar menduduki tempat keempat setelah dihampakan Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3. – BebasNews

E. Elavarasan turut membantu ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. – Foto FAM

Leave a Reply