ZULKARNAIN Zakaria (tengah) digantung serta-merta daripada tugas pengadilan Liga M 2023. – Foto PFC

ZULKARNAIN Zakaria (kanan) turut memberikan sepakan penalti kepada Penang FC yang diambil Adriano biarpun pemain-pemain Sabah FC mempertikaikannya. – Foto PFC 

PENGADIL ‘pesta penalti’ Liga Super 2023 di Stadium Likas, Kota Kinabalu antara Sabah FC dan Penang FC kelmarin, Zulkarnain Zakaria digantung serta-merta daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Tindakan ini dikenakan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah mendapati dia terkhilaf (tersalah) dalam mentafsirkan dua pemberian sepakan penalti kepada Sabah FC.

“FAM sebulat suara mendapati Zulkarnain terkhilaf dalam dua situasi pemberian sepakan penalti kepada Sabah FC pada minit ke-41 dan minit ke-90+9,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman (gambar bawah, kiri) dalam laman sesawang persatuan, hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan ekoran keputusan sidang jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Datuk S. Sivasundaram (gambar bawah, kanan) yang turut meneliti laporan penilai pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM memandang serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik (menyeluruh).

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan sewajarnya terhadap pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023,” katanya.

Kedua-dua penalti Sang Badak kendalian Datuk Ong Kim Swee yang didapati terkhilaf itu disempurnakan Darren Loke dan Gabriel Peres.

Perlawanan yang dimenangi Sabah FC 5-2 itu turut menyaksikan satu lagi sepakan penalti buat tuan rumah dan dua buat Penang FC.

Zulkarnain dikritik ramai peminat ekoran perlawanan itu malah penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Jalil memprotes keputusannya dengan hanya berdiri di atas garisan gol ketika sepakan penalti Peres. — BebasNews

Leave a Reply