
SETELAH terpaksa berpindah-randah lokasi sebanyak empat kali kerana tidak dibenarkan pihak tertentu, Proklamasi Orang Melayu hanya dapat diumumkan dalam satu sidang media di ibu kota, hari ini.
Proklamasi ini ditulis mantan Perdana Menteri yang juga tokoh negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dibacakan di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa).
Dua belas perkara utama proklamasi ini ialah:
1- Orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara.
2- Tidak mustahil satu-satunya kuasa politik yang ada juga akan terlucut daripada tangan orang Melayu.
3- Nasib orang Melayu tidak dapat ditentukan mereka.
4- Puncanya ialah kecuaian pemimpin orang Melayu sendiri.
5- Parti Melayu atas nama bangsa, agama dan negara diseleweng menjadi parti untuk memewahkan diri.
6- Perebutan jawatan dan kuasa menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu.
7- Lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini bakal terlepas daripada tangan mereka.
8- Masa depan orang Melayu kini amat gelap dan kemiskinan memaksa mereka menjual tanah-tanah mereka.
9- Pemulihan bangsa Melayu hanya akan berjaya apabila mereka kembali bersatu.
10- Menyelamatkan bangsa itu kewajiban bukannya perkauman namun akan menjadi perkauman jika bangsa itu dibiar sehingga tidak lagi relevan.
11- Ketepikan kepentingan diri dan parti.
12- Bertautlah semula demi bangsa, agama dan negara.
Jika sayangkan bangsa Melayu, turunkan tandatangan di atas Proklamasi Orang Melayu ini, kata Mahathir.

Beliau dalam sidang itu turut pelik mengapa kerajaan perpaduan sekarang begitu takut sampai melarang perjumpaan Proklamasi Orang Melayu sehingga bertukar lokasi dan kepada hanya sidang media.
Anwar katanya seperti takut dengan bayang-bayang sendiri sedangkan mantan Perdana Menteri itu dan parti terdahulunya, Gerakan Tanah Air (GTA) sudah kalah kesemua 125 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, November lalu.
Mahathir juga menyifatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan diktator sedangkan tujuan perjumpaan proklamasi itu untuk menegur kerajaan sedikit sebanyak dan memberitahu rakyat apa yang berlaku dalam negara sekarang.
“Saya ucap tahniah kerajaan ini yang melawan rasuah tetapi terkilan yang dituduh dan disiasat hanya mereka daripada parti lawan. Mereka daripada parti kerajaan kita sedar juga terlibat dengan rasuah terutama UMNO.
“Inilah kerajaan yang ada sekarang, sebab itu dia tidak benarkan ditegur sesiapa atau akan diambil tindakan,” katanya yang dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa Proklamasi itu.

Sidang media berhubung proklamasi ini juga kata Mahathir mungkin tidak dapat dilaporkan sepenuhnya oleh media massa tempatan yang dianggap sudah tidak bebas lagi berbuat begitu.
“Hari ini kami hanya dapat jumpa media walaupun saya tahu media hari ini tidak bebas lagi dan tidak boleh tulis benda yang benar (tetapi) hanya boleh lapor puji-pujian si polan-polan (pemimpin tertentu kerajaan sekarang),” katanya.
Proklamasi ini walau bagaimanapun katanya, tidak berhasrat untuk mengundang Perikatan Nasional (PN) yang menjadi barisan pembangkang di Dewan Rakyat sekarang menyertai mereka.
“Kami cuma orang Melayu yang datang daripada macam-macam parti dan orang-orang persorangan yang sedar masa depan bangsa Melayu kini amat buruk.
“Orang Melayu kini diketepikan kerajaan yang dianggap dipimpin oleh orang Melayu tetapi sampai sekat orang Melayu yang hendak bercakap di tanah air sendiri dan sebagai pengasas negara Malaysia ini,” katanya. – BebasNews


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.