Shahrir Samad

KUALA LUMPUR — Seramai 54 muka baharu sah dilantik menjadi ketua bahagian UMNO bagi pemilihan UMNO kali ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Samad, ia jelas menunjukkan berlakunya perubahan politik dalaman pada pemilihan 2023.

“Hampir 30 peratus muka baharu dan perubahan tersebut bukan melibatkan satu negeri sahaja malah berlaku secara keseluruhan antaranya Wilayah Persekutuan ada enam muka baharu.

“Selain itu Melaka (3 ), Kedah (5), Terengganu (3), Pulau Pinang (2), Kelantan (5), Negeri Sembilan (2), Pahang (5), Johor (10), Perak (4), Selangor (6) dan Perlis,” katanya.

Berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Dato’ Onn Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut menegaskan supaya etika ditekankan oleh seluruh perwakilan yang terlibat dalam pemilihan akan datang.

“Kita tekankan kualiti kepada 190,000 ahli UMNO yang terlibat supaya patuh soal tata etika.

“Selain itu perlu juga mempunyai kefahaman dan tanggungjawab kerana kalau dinilai dari kuantiti sahaja, ia bukan tanda amalan demokrasi sebenar,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply