
TANJUNG MALIM — Fakulti Sains Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Al-Farabi Kazakh National University (KazNU) untuk perkongsian pengetahuan dan kepakaran dalam penyelidikan di antara kedua-dua universiti.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu membabitkan perkongsian dua hala penyelidikan dalam bidang STEM serta teknologi nano menerusi institusi kajian saintifik KazNU serta FSM sendiri.
Katanya, sehingga Mac tahun ini, UPSI telah menandatangani MoU dengan tujuh universiti tempatan dan 22 universiti luar negara serta perkongsian industri dengan 45 MoU ditandatangani bersama industri tempatan dan dua MoU bersama industri luar negara.
Md Amin dalam ucapannya berkata, selaras dengan hasrat pengantarabangsaan universiti pendidikan itu mahu memacu kecemerlangan dengan kerjasama universiti terbaik Kazakstan yang juga penarafan QS University Ranking 150 terbaik dunia.

“Kerjasama ini juga dapat diperkukuhkan dengan penyertaan bersama dalam latihan, bengkel dan persidangan serta penerbitan dalam artikel dari kedua-dua universiti boleh diterbitkan iaitu Educatum Journal of Science Mathematics and Technology (EJSMT) dan Chemical Bulletin of Kazakh National University,” katanya pada sidang video dalam talian di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI Tanjong Malim hari ini.
Beliau berkata, memorandum ini juga dapat melihat perkembangan perkongsian kepakaran antara kakitangan akademik serta mobiliti akademik dalam mempromosikan pembelajaran silang budaya kedua-dua buah institusi merentas sempadan.
–BebasNews