SKUAD B-22 Malaysia yang terkandas dalam Kumpulan B Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, baru-baru ini. – Foto FAM
MALAYSIA hanya akan bermain dua kali dengan Indonesia menjadi rintangan utamanya manakala Timor Leste dijangka mudah dilepasi dalam Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 Tahun AFF 2023 di Thailand, Ogos ini.
Skuad belia negara kendalian E. Elavarasan ini juga perlu menjuarai kumpulan ini atau muncul naib juara terbaik antara ketiga-tiga kumpulan termasuk A dan C, untuk layak ke separuh akhir.
Majlis undian rasmi di Bangkok, Thailand pagi ini turut menyaksikan empat pasukan Kumpulan A perlu bermain lebih banyak yang terdiri daripada tuan rumah, Kemboja, Brunei dan Myanmar.
Juara bertahan, Vietnam pula membentuk Kumpulan C dengan Filipina dan Laos.

Kejohanan ini merupakan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dengan pencapaian terbaik pasukan kita ialah separuh akhir edisi sulung, 2005.
Malaysia akan membuka tirai Kumpulan B di Chonburi dengan menentang Indonesia yang juga juara 2019 pada 18 Ogos diikuti Timor Leste, 22 Ogos ini.
Pada Mei lalu, skuad B-22 negara yang turut dibimbing Elavarasan pulang tanpa sebarang pingat Sukan SEA Kemboja 2023 setelah ditundukkan Thailand 2-0 dan Vietnam 2-1 dalam Kumpulan B.
Indonesia juga dijangka menampilkan semula sebahagian besar tonggak pemenang pingat emas temasya dwitahunan ke-32 itu yang menewaskan Thailand 5-2 dalam perlawanan akhir.
Satu lagi tugasan mereka ialah Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga di Thailand dengan menentang Bangladesh, Filipina dan tuan rumah pada 6, 9 dan 12 September ini.
Hanya juara setiap kumpulan (11 pasukan), empat naib juara kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak ke pusingan akhir.
Disebabkan tarikhnya agak hampir, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah mengumumkan tidak akan menghantar skuad B-23/24 negara ke Sukan Asia Hangzhou dari 23 September hingga 8 Oktober ini. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.