OSKAR P. Ramlee yang menjadi piala pusingan pertandingan sepak raga jaring di Singapura sekitar awal 60-an ketika Seniman Agung itu gigih berkarya di Studio MFP, Jalan Ampas. Oskar ini kini dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Kuala Lumpur. – Foto Kafebuzz

SEMALAM 29 Mei genap 50 tahun (1973) kembalinya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah akibat serangan jantung pada usia 44 tahun di Kuala Lumpur.

Selain aneka bakat hebat seni sebagai pelakon, penyanyi, pelawak, pemuzik dan penggubah lagu serta pengarah filem, huruf nama pangkal ‘P’ beliau turut seperti bermaksud Pemain Sepak Raga Jaring (Sepak Takraw).

Sukan warisan Melayu yang diasaskan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang ini dan badminton merupakan antara riadah kegemaran masa lapang Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (nama sebenarnya).

Keterangan gambar kanan: Aziz Sattar (kiri) dan P. Ramlee (kanan) dalam pasukan Sekawan Bintang. – Foto BHS/SPH

Sepak raga jaring mula bertukar nama kepada sepak takraw atau ejaan asalnya, sepaktakraw pada Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

P. Ramlee juga pernah menubuhkan sebuah pasukan, Sangga Buana yang menganjurkan sebuah pertandingan sepak raga jaring terbuka, Oskar P. Ramlee di Singapura pada awal era 60-an, lapor akhbar Berita Harian Singapura.

Beliau juga pernah membentuk pasukan Sekawan Bintang yang dibarisi para pelakon Studio Malay Film Production (MFP), Jalan Ampas, Singapura bagi siri perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab tempatan termasuk di sekitar Johor.

Antara mereka ialah rakan siri filem “Bujang Lapoknya”, Datuk Aziz Sattar (Allahyarham) mahupun musuh ketat “Semerah Padi”, “Sarjan Hassan” dan “Tiga Abdul”, Salleh Kamil (Allahyarham).

Keterangan gambar (atas, kiri): P. Ramlee sebagai apit kiri dan pengumpan, menyerang lawan dengan tandukan kepala. Kanan: P. Ramlee (berdiri, tengah) dan Sangga Buana sebelum menentang kelab Semangat Bersatu (jersi hitam) dari Selangor dalam perlawanan persahabatan di Singapura pada 1960.   

Dia yang gemar bermain di posisi apit kiri ini menurut akhbar itu, bersama-sama rakan karyawan seninya, S. Sudarmaji menganjurkan Peraduan Sepak Raga Jaring Oskar P. Ramlee dalam format regu berpasukan kalah singkir.

Sebanyak 42 pasukan mengambil bahagian dalam edisi 1961 yang berlangsung di Jalan Boon Teck, Singapura setiap hari Ahad dan Rabu selama dua bulan.

Setiap pasukan yang mendaftarkan 10 pemain termasuk seorang simpanan, hanya dikenakan yuran penyertaan 3 dolar.

Isteri P. Ramlee, Saloma (Allahyarham Puan Sri Biduanita Negara) juga telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang selepas perlawanan akhir pada 7 Mei 1961 di Stadium Happy World, Singapura.

Malangnya hasrat murninya untuk mempopularkan sukan warisan Melayu itu menerusi kejohanan itu pernah mencetuskan iri hati pegawai tertentu Persekutuan Sepak Raga Singapura (Perses).

Pegawai kanan Perses itu dalam laporan akhbar berkenaan, mengancam untuk mengambil tindakan terhadap pasukan-pasukan yang menyertai Oskar P. Ramlee atas alasan status ‘haram’ mereka yang tidak berdaftar atau bernaung di bawahnya.

Ekoran ugutan dan percubaan mereka untuk menghalangnya, Sangga Buana terpaksa menyerahkan urusan penganjuran Oskar P. Ramlee kepada Gerakan Sepak Raga Jaring Singapura (Gesas) mulai 1963.

JUARA-JUARA OSKAR P. RAMLEE

1960: Bawean Putra

1961: Cathay Keris kalahkan Nasional 3-0 (1-15, 15-12, 15-9), (15-6, 15-1), (15-11, 15-4)

1964: Bintang Bulan kalahkan Lloyd Garden 2-1 (15-11, 15-6), (5-15, 13-18), (15-1, 15-8). — BebasNews

CATHAY Keris yang menjuarai Oskar P. Ramlee 1961 bergembira meraikan kejayaan dengan hadiah-hadiah kemenangan mereka di samping tiga seniwati jelita filem Melayu. – Foto BHS/SPH

Leave a Reply