Nor Azizah Ahmad

TANJONG KARANG — Pergolakan UMNO Bahagian Tanjong Karang kian parah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila yang terbaharu, keputusan mesyuarat dan pemilihan Wanita UMNO bahagian itu pada Mac lalu, kini telah digantung.

Keputusan penggantungan yang diumumkan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lalu, menjadikan kesemua ahli jawatankuasa Wanita bahagian itu yang menang terdiri daripada Ketuanya, Nor Azizah Ahmad; Naib Ketua, Rozita Rashid , Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap serta 15 ahli jawatankuasa lain digantung.

Menurut sumber dalaman UMNO, penggantungan itu dibuat setelah bekas Ketua Wanita Bahagian berkenaan, Datuk Habibah Mohd. Yusof, yang tewas pada pemilihan lalu membuat aduan terus kepada pihak atasan iaitu Presiden parti.

Malah, ekoran penggantungan itu juga, semua gerakan Wanita bahagian berkenaan terutama bagi menghadapi PRN yang dijangka Julai depan, kini diambil alih oleh Wanita UMNO Negeri Selangor.

Untuk maklumat, Wanita negeri Selangor diketuai oleh Ketuanya, Datuk Halimatun Saadiah Bohan.

Difahamkan, mesyuarat dan pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan Wanita Bahagian yang baharu akan hanya diadakan selepas PRN nanti.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Tanjong Karang bergolak apabila bekas Ketua Bahagian, Tan Sri Noh Omar telah digantung sebelum PRU lalu dan diikut pemecatan beliau.

Turut digantung ialah Setiausaha UMNO Bahagian Tanjong Karang, Jasman Anuar.

Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah meletakkan Habibah sebagai calon Parlimen dalam PRU-15, namun tewas.

Habibah mendapat 12,314 undi dan tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi dengan majoriti undi 2,180.

Selain itu, pada mesyuarat dan pemilihan bahagian sebelum penggantungan dibuat, Habibah juga tewas kepada Nor Azizah. Nor Azizah mendapat 285 undi manakala Habibah 152 undi.

Menurut sumber, antara aduan dan alasan yang dikemukakan supaya penggantungan terhadap mesyuarat dan pemilihan Wanita bahgian itu ialah Jawatankuasa Pemilihan Undi (JPU) ketika itu didakwa sebagai lembab, selain dakwaan bahawa terdapat wakil-wakil calon yang bertanding telah naik ke atas pentas tempat pemilihan undi secara mendadak dan tanpa kebenaran.

Sebagai tambahan info mesyuarat perwakilan wanita UMNO Bahagian Mac lalu di bawah pengurusan Habibah sendiri sebagai Ketua Wanita bahagian ketika itu.

Ekoran pengantungan itu juga, kini timbul persoalan kerana belum ada sebarang surat rasmi dikeluarkan oleh kepemimpinan tertinggi UMNO.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang enggan nama disiarkan telah melontarkan persoalan iaitu jika benar JPU lembab hasil dari mesyuarat dan pemilihan bahgian berkenaan, sepatutnya keseluruhan keputusan termasuk pemilihan Ketua Bahagian dan jawatan-jawatan lain sepatutnya turut digantung.

Di samping itu, timbul juga persoalan terhadap pemilihan Ketua Bahagian Tanjong Karang kerana kertas undi didapati melebihi perwakilan yang hadir pada mesyuarat itu.

Pengerusi Tetap semasa pemilihan Bahagian Tanjong Karang ketika itu mengumumkan mereka yang layak mengundi ialah 572 orang, namun apabila pengiraan dibuat jumlah tersebut menjadi 582 undi.

Di sini timbul persoalan, bagaimana terdapat 10 undi tambahan walaupun bantahan telah dibuat namun JPU didakwa tidak mengendahkannya.

“Persoalannya kenapa Wanita sahaja yang digantung. Adakah disebabkan rasa tidak puas hati dari keputusan pemilihan berkenaan,” soalnya.

Sementara itu, beberapa ahli UMNO Bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian melihat perkembangan terbaharu itu akan mengulangi semula sejarah kekalahan BN dan UMNO dalam PRN nanti.

Mereka berpandangan, keadaan itu menyebabkan berlaku perpecahan dan mereka yang digantung tidak mahu terbabit dalam kempen-kempen membantu calon UMNO dalam PRN nanti.

Bagi mereka, Tanjong Karang yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO, bakal terlepas peluang untuk menang dalam PRN nanti.

— Bebas

Leave a Reply