Tapak jualan barangan terpakai di FamFest, UIAM Kampus Kuantan

KUANTAN – Balairaya usang yang sudah berbelas tahun terbiar di Kg. Semangat kini dibaiki dan ditransformasikan sebagai Pusat Belajar Mengaji dan Ilmu Al-Qur’an.

Majlis pembukaan Pusat Belajar Mengaji ini telah dirasmikan pada hari ini oleh Pengerusi National Council of Women’s Organisation (Malaysia) Pahang, Datuk Sri Maznah Mazlan.

Usaha baikpulih balairaya ini telah dimulakan sejak tahun lepas oleh 14 orang pelajar Usrah In Action (UIA), Seksyen 821 daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dibawah seliaan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UIAM.

Selain daripada kerja-kerja pembersihan balairaya, para pelajar ini juga telah berjaya “menyelamatkan” sebanyak 1.2 tan barang-barang terpakai daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah dalam usaha mereka mengumpul dana untuk menampung kos-kos pembaikan balairaya.

Pada Ahad lepas, pelajar-pelajar UIAM telah turut mengadakan Festival Jualan Amal beserta Hari Keluarga (FamFest) di Kampus Kuantan.

Dato’ Sri Maznah Mazlan turut menjadi juri gubahan bunga dan herba di majlis perasmian Pusat Mengaji Al-Qur’an Kg. Semangat, sambil disaksikan oleh penasihat UIA (dari kiri) Dr. Norhidayah, Dr. Norul Hernani dan Dr. Norazsida dan Tok Empat Yusuf (bersongkok, dua dari kanan).

Penasihat FamFest, Dr. Norul Hernani Abd Latif berkata, “Segala penat lelah kami hilang apabila melihat senyuman anak-anak dari keluarga B40, asnaf serta yatim yang amat memerlukan, mendapat buku-buku, peralatan, permainan dan pakaian yang didermakan oleh komuniti kepada mereka secara percuma.

Menerusi pelbagai usaha kebajikan oleh Usrah in Action ini juga, para pelajar ini telah berjaya mentransformasikan balairaya usang di Kg. Semangat yang telah terbiar selama belasan tahun.”

Selain usaha mengumpul dana amal sambil mengurangkan pencemaran alam sekitar, FamFest yang telah diadakan pada minggu lepas turut meraikan kedatangan seramai 37 orang kanak-kanak beserta 7 orang pengiring dikalangan ibubapa dari Kg. Semangat.

Rombongan ke UIAM Kampus Kuantan telah dimulakan dengan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Dar Al-Hikmah Kuantan dan diakhiri dengan lawatan ke beberapa Makmal Sains di Fakulti Sains, UIAM.

Program baikpulih balairaya ini merupakan sebahagian daripada pembelajaran berasaskan pengalaman atau ‘experiential learning’ untuk subjek UIA yang diwajibkan kepada semua pelajar sarjana muda UIAM.

Terdahulu, para pelajar UIA ini telah didedahkan dengan kemahiran komuniti portfolio, untuk mendalami demografi serta isu di sesebuah komuniti sebelum membuat kertas cadangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh komuniti tersebut.

Terkini, pengumpulan sisa sampah di tapak pelupusan sampah merupakan isu utama di negara ini.

Tanpa pengurusan yang betul untuk melupuskan sisa ini, Malaysia dijangka akan menghadapi peningkatan bahan buangan domestik ke tapak pelupusan sampah yang akhirnya akan mengakibatkan pelbagai jenis pencemaran terhadap alam sekitar, termasuklah kesan sisa mikroplastik, dan peningkatan gas-gas beracun serta gas rumah hijau.

Bukan itu sahaja, malahan taraf kesihatan penduduk Malaysia akan turut terjejas akibat terdedah kepada gas-gas beracun seperti metana, hidrogen sulfida dan gas ammonia yang terhasil di tapak pelupusan sampah ini.

Gas-gas merbahaya ini boleh menyebabkan batuk, kerengsaan pada mata dan hidung serta sakit kepala. Malahan, air larut lesap dari tapak pelupusan sampah ini juga boleh mengalir ke air tanah dan sungai berhampiran, sekaligus mencemarkan sumber air negara.

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia perlu lebih peka terhadap akibat pembuangan sampah yang tidak terkawal. Kempen menderma dan menjual barangan terpakai yang masih elok dan boleh dikitar semula atau dinaik taraf perlu digalakkan.

Generasi muda perlu dididik dengan peri pentingnya pengendalian bahan buangan yang boleh diguna semula agar ia menjadi sebahagian daripada budaya ataupun gaya hidup rakyat Malaysia.

Maka, usaha para pelajar UIA, Seksyen 821 ini dalam mengurangkan jumlah sampah domestik terutama sekali pakaian dan peralatan elektronik daripada berkumpul di tapak pelupusan sampah harus dipuji dan dicontohi.

Pelajar jurusan kejururawatan, Ahmad Ammar Zaim bin Nordin yang merupakan ketua untuk Seksyen 821 ini pula berkata, “program komuniti seperti mengemas balairaya, mengumpul dan menyusun barangan terpakai, dan jualan amal merupakan aktiviti yang mulia.

Meskipun sibuk dengan kuliah dan praktikal di hospital, kami bersyukur kerana dengan sedikit usaha dan tenaga ini, kami dapat menyuntik harapan dan memberi semangat kepada adik-adik di kampung.”

Usaha mereka ini sebenarnya telah bermula sejak Oktober 2022 sehinggalah Jun tahun ini. Sejumlah RM 8,650 telah diserahkan kepada penduduk Kampung Semangat, di mana sebahagiannya merupakan hasil jualan amal barangan terpakai.

Kemuncak pengumpulan barang-barang buangan ini dapat dilihat apabila kempen memberi sambil menderma ini telah mendapat sambutan yang tinggi dari komuniti setempat, selari dengan bulan Ramadhan di mana ramai penderma dikalangan umat Islam telah mengambil peluang untuk mengemas rumah mereka sempena sambutan Aidilfitri sambil mengambil peluang bersedekah barang-barang terpakai yang masih elok dan berfungsi agar boleh diguna semula oleh mereka yang lebih memerlukan.

— Intan Azura Shahdan, Ph.D (Pensyarah, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UIAM)
Email: [email protected]

Leave a Reply