MANTAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dipinda bagi memberikan lebih kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk mengambil tindakan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang salah.
Peranan DBP dalam memperkasa dan menambah baik penggunaan ayat Bahasa Melayu kata beliau, perlu seiring dengan perkembangan semasa namun kuasa agensi kerajaan itu untuk mengambil tindakan tersebut, didapati masih terhad dan tidak meluas.
“Saya berharap usaha ini diteruskan dan diberikan perhatian kerajaan hari ini agar Bahasa Melayu dapat diperkasakan dan digunakan secara menyeluruh.
“Sewaktu saya masih menerajui kerajaan, pelbagai usaha digerakkan bagi menjulang Bahasa Melayu ke satu peringkat lebih tinggi sekali gus mempromosi identiti Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Ismail berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) bertajuk, “Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” di ibu negara hari ini.
Peneraju simposium dua hari ini, Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman bekerjasama dengan Komuniti Pensyarah ASEAN, Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) dan Rajamangala University Of Technology (RMUTT) Thailand serta tuan rumah, Universiti UCSI.
Bahasa Melayu tegas beliau pernah digunakannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 untuk berucap sekali gus membuktikan Bahasa Melayu boleh duduk sebaris bahasa-bahasa utama lain dunia.
“Dalam urusan hal-ehwal luar negara, saya juga mengarahkan kesemua urusan surat-menyurat dari negara kita kepada pemimpin tertinggi negara luar menggunakan Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris sebagai lampiran.
“Ketika rundingan dua hala pada peringkat antarabangsa, saya menggunakan bahasa Melayu dan saya tidak nampak cacat celanya rundingan itu apabila menggunakan Bahasa Melayu.
“Namun selepas 66 tahun negara merdeka, kita masih bergelut untuk memartabatkan bahasa kita sendiri, sehingga ada antara pemimpin negara yang berasa canggung atau ‘lekeh’ untuk menggunakan bahasa ibunda ini di pentas antarabangsa,” katanya.
Bahasa Melayu juga jelasnya, sudah melangkaui ruang lingkup Nusantara malah papan tanda di Korea Selatan menggunakan Bahasa Melayu sebagai rujukan untuk pelancong asing khususnya dari gugusan Nusantara.
Bahasa Melayu bahasa yang unik dan menarik malah banyak negara sudah mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri, kata Ismail.
“Ketika mengadakan lawatan kerja ke Indonesia, saya menyatakan hasrat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua bagi negara ASEAN.
“Beliau menyokongnya kerana Bahasa Melayu mempunyai lebih 300 juta penutur di rantau Asia Tenggara dan di kawasan ‘Alam Melayu’ merentas entiti politik Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, sebahagian Thailand, sebahagian Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar,” katanya.
Melalui penggunaan bahasa yang sama ini juga, kita dapat melahirkan sebuah Keluarga ASEAN yang sentiasa bersatu bagi mendepani sebarang krisis global seperti sebuah keluarga besar, ujarnya.
Sementara itu jelas Ismail, TGBC menubuhkan kursi sempena nama beliau untuk memperkasakan Bahasa Melayu di rantau ini iaitu institut pengajian tinggi pertama Thailand yang melakukannya khusus untuk pengajian dan penyelidikan ketamadunan Melayu dan Bahasa Melayu.
“TGBC dan RMUTT akan berfungsi sebagai hab pendidikan untuk memperluaskan jaringan Pengajian Melayu dan Ketamadunan di Thailand yang mampu memberi impak besar dalam memartabatkan Bahasa Melayu pada peringkat ASEAN dan antarabangsa,” katanya. – BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.