HAZIQ Hairul Nizam diapit Noraizat Nordin (kanan) dan Farhan Adam akur dengan ranapnya rekod tanpa kalah mereka kepada Thailand dalam Sukan Asia Ke-19 ini selepas menewaskan Indonesia, Korea Selatan dan Laos. – Foto MSN

JIKA perasaan gugup final pertama di pentas tertinggi antarabangsa dapat ditangani, regu Haziq Hairul Nizam mungkin masih mampu menyaingi sengit Thailand.
Perasaan tersebut jelas menjejaskan pertahanan dan sambutan bola tekong regu pertama Malaysia berusia 22 tahun itu biarpun servisnya dapat menghasilkan sembilan mata terus.
Berbeza dengan regu Syahir Rosdi yang sembilan servisnya kerap memamah jaring lantas meluaskan laluan Thailand untuk menggenggam pingat emas regu berpasukan sepak takraw Sukan Asia sejak Bangkok 1998.
“Mungkin kekurangan pengalaman punca prestasi Haziq bukan pada tahap terbaik, hari ini.
“Servisnya walau bagaimanapun banyak mengutip mata dan ini satu peningkatan daripada perlawanan-perlawanan lalu,” ulas Ahmad Jais Baharun (gambar bawah kanan) kepada BebasNews mengenai perlawanan akhir yang dimenangi Si Gajah Putih pada final Sukan Asia Hangzhou 2023 ini.

Haziq meraih penampilan sulung antarabangsa pada Sukan SEA Vietnam 2022 di Hanoi dan memenangi pingat perak selepas liga sepusingan empat negara peserta namun final temasya ke-19 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, Jinhua, China ini masih satu pentas yang berbeza dan lebih mencabar.
Jais, ketua jurulatih negara berkata, siri kesilapan mudah kedua-dua regu kita turut menyumbangkan kekalahan 0-2 (15-21, 14-21), (13-21, 18-21) itu.
Haziq yang diapit oleh perejam Noraizat Nordin dan pengumpan Farhan Adam ditewaskan oleh Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Wichan Temkort.
Tentangan saat akhir Syahir yang terpaksa memberikan laluan Zarif Marican Ibrahim Marican, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir pula dihampakan Siriwat Sakha, Varayut Jantarasena dan Pattarapong Yupadee.
Jais juga menganggap Sittipong, tekong Thailand yang berketinggian 1.92 meter, kerap mengucar-kacirkan benteng anak buahnya.

“Serangan padu servisnya menyukarkan kawalan dan sambutan bola regu kita,” kata anggota skuad pemenang pingat emas pertama dan terakhir Malaysia dalam acara ini di Beijing 1990. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.