KAJANG — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan beberapa dokumen diperlukan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi permohonan notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan peguamnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua dokumen berkenaan termasuk draf pertuduhan dan beberapa maklumat lain yang berkaitan dijangka dapat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin.
Katanya, berkaitan permohonan kepada Interpol, SPRM tidak boleh melakukan sendiri sebaliknya ia perlu melalui polis.
“Berkaitan dengan isu itu (permohonan notis merah) terdapat dokumen tertentu yang perlu kita bekalkan kepada PDRM. Ia akan dilakukan dengan segera dan tidak akan mengambil masa yang lama.
Saya jangka penyerahan dokumen itu akan dibuat minggu hadapan, paling awal Isnin ini,” katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Interpol meminta pihaknya melengkapkan beberapa maklumat sebelum notis merah itu dikeluarkan.
Katanya, beberapa perkara teknikal sedang ditunggu untuk diperoleh daripada SPRM bagi pengumuman rasmi notis merah.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin ke dalam senarai notis merah selepas gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.
Menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan peguam, Mansoor Saat, 69, disyaki terbabit kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
— BebasNews