Selaraskan takat tanggungjawab jenayah juvana di mahkamah sivil dan syariah demi kebaikan semua. Gambar oleh Niu Niu - Unsplash
Oleh Dr. Siti Aisyah Samudin, Dr. Hanira Hanafi*

KADAR peningkatan krisis akhlak dan moral golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini semakin membimbangkan. Laporan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana telah meningkat sebanyak 37.5 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Disember 2019 turut mencatatkan kes penangkapan empat orang remaja bawah umur yang telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh atas pertuduhan berasingan melibatkan kes jenayah seksual. Terbaru, tular di media sosial satu rakaman video seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang didakwa telah memaksa rakan sejantina melakukan tindakan seksual ke atasnya.

Laporan dan statistik ini hanya sebahagian dari ribuan kes lain yang berjaya dilaporkan. Dianggarkan, banyak lagi kes seksual lain melibatkan pesalah bawah umur yang tidak dilaporkan atas beberapa faktor antaranya penglibatan maruah, wujud pertalian darah dan aktiviti sukarela.

Selain itu, data awalan turut mendapati bahawa wujud kanak-kanak yang terlibat sebagai pelaku kesalahan seksual sebenarnya merupakan mangsa seksual di kediaman mereka sama ada di asrama, tempat asuhan atau rumah kediaman. Kesan atas trauma yang dialami, kanak-kanak ini akhirnya bertindak menjadi pemangsa dan wujud kebarangkalian untuk terus menjadi pemangsa sekiranya tiada langkah pemulihan segera dan efektif dilaksanakan.

Bagi kes jenayah syariah, kes khalwat merupakan di antara kes yang banyak berlaku di Malaysia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur. Hal ini turut diakui oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang melaporkan bahawa jenayah tertinggi dicatatkan oleh pesalah bawah umur adalah bagi kes rogol, diikuti dadah, mencederakan orang, dan mencuri motosikal.

Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa merupakan pelajar sekolah menengah berusia lingkungan umur 13 hingga 18 tahun. Beliau turut menambah bahawa 95 peratus pelaku jenayah yang dilaporkan dalam kalangan pelajar adalah lelaki manakala selebihnya melibatkan pelajar perempuan.

Peningkatan kes melibatkan kanak-kanak memperlihatkan kepada umum bahawa bakal wujud kemelut sahsiah dan pergaulan yang dahsyat yang kemudiannya boleh berdampak kepada kecelaruan nasab dan kemunduran masyarakat, sekiranya tindakan dan pencegahan awal tidak diambil.

Umum menyedari bahawa kanak-kanak merupakan asas kepada permulaan pembinaan masyarakat yang kukuh dan bertamadun dalam usaha mencapai negara contoh dan maju dari aspek akhlak, sosial dan pembangunannya.

Isu timbul apabila melibatkan tafsiran kanak-kanak dari aspek perundangan di Malaysia dan pelaksanaannya di mahkamah sivil dan syariah. Undang-undang negara turut memperuntukkan had umur seorang kanak-kanak bagi jenayah sivil dan jenayah syariah namun penetapan had umur ini memiliki perbezaan di antara sistem perundangan sivil dan syariah di Malaysia.

Penetapan had umur ini akan membawa kepada analisis takat tanggungjawab jenayah serta hukuman atau proses pemulihan yang wajar dikenakan ke atas golongan kanak-kanak.

Dewan Bahasa dan Pustaka memberi definisi bagi kanak-kanak sebagai seorang budak lelaki atau perempuan yang masih kecil dan kebiasaannya berumur lebih daripada tujuh atau lapan tahun. Di dalam Islam, seseorang itu masih bergelar kanak-kanak selagi belum ihtilam atau mencapai usia baligh. Oleh itu, seseorang akan mula dipertanggungjawabkan dengan perbuatannya hanya setelah baligh.

Penelitian berkenaan tafsiran kanak-kanak di mahkamah syariah perlu dilihat dengan merujuk pandangan fiqh berkenaan had umur kanak-kanak. Usia baligh seseorang menurut sebahagian enakmen jenayah syariah negeri-negeri seperti di Perak, Negeri Sembilan dan Sabah mempunyai percanggahan dengan pegangan empat mazhab utama yang meletakkan umur minimum 15 tahun sebagai usia baligh.

Di samping itu, had umur kanak-kanak bagi mahkamah syariah di Perlis dan Kedah adalah berlainan dengan mahkamah syariah yang lain.

Mahkamah sivil pula menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kes jenayah kanak-kanak dan meletakkan had umur yang lebih tinggi iaitu 18 tahun berbanding dengan kebanyakan mahkamah syariah di Malaysia. Setiap negeri atau negara perlu memperuntukkan had umur bagi kanak-kanak seperti yang ditekankan oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Oleh itu, umur baligh maksimum dalam Islam dan had umur dalam enakmen tatacara jenayah syariah serta Akta Kanak-kanak 2001 tidak mempunyai penyelarasan seterusnya menimbulkan kecelaruan dalam pelaksanaan perundangan negara secara umum.

Ketidakselarasan penetapan had umur kanak-kanak dalam tanggungjawab ini boleh mewujudkan ketidakadilan dalam institusi penguatkuasaan undang-undang jenayah sivil serta jenayah syariah bagi negeri-negeri yang berkenaan.

Oleh yang demikian, penyelarasan penggunaan istilah dalam perundangan jenayah syariah juga adalah diperlukan untuk mengelakkan sebarang kecelaruan. Perkara ini secara tidak langsung dapat menjaga kepentingan dan kebajikan seorang kanak-kanak.

Ketidakselarasan had umur seorang kanak-kanak di peringkat institusi kehakiman secara keseluruhannya akan memberi impak kerana hal ini mampu mewujudkan ketidakadilan ketika pihak mahkamah memberikan hukuman yang relevan kepada pesalah muda kanak-kanak.

Selain isu ketidakselarasan had umur dalam perundangan jenayah syariah, kerelevanan had umur maksimum kanak-kanak pada usia 18 tahun dalam perundangan jenayah sivil juga perlu ditinjau sebaiknya. Penetapan umur di bawah 18 tahun sebagai kanak-kanak di bawah Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi maksud tanggungan jenayah sivil juga perlu diteliti semula.

Hal ini perlu dipertimbangkan kerana kemajuan peredaran dunia teknologi kini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kanak-kanak lebih mudah terdorong untuk melakukan kesalahan melalui faktor persekitaran yang lebih mudah untuk diakses kini. Hal ini diperhati dengan melihat ketangkasan golongan ini dari aspek penggunaan teknologi, penerimaan maklumat, dan faktor kematangan.

Sistem perundangan di Malaysia bagi kes melibatkan juvana atau pesalah muda telah pun dilaksanakan lebih daripada 50 tahun. Diharapkan agar pihak pemerintah boleh menelusuri isu berkenaan had umur di dalam jenayah syariah dah sivil di Malaysia ini dengan lebih mendalam bagi memelihara siasah syar’iyyah negara.

Cadangan juga termasuklah mengemukakan pelan tindakan modul rehabilitasi baharu dari aspek pencegahan, perundangan, intervensi dan sistem sokongan sekaligus membantu sistem sedia dalam beberapa aspek iaitu prosedur penetapan hukuman, langkah yang wajar diambil oleh pihak terlibat langsung serta tanggungjawab masyarakat dalam membantu usaha pemulihan ini.


Hanira
Aaisyah Samudin

*Kedua-dua penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply