Wartawan Saeed Al-Taweel yang terkorban dalam serangan empat peluru berpandu Israel milik Tentera Rejim Zionis Israel (IOF) yang menyasarkan sebuah bangunan termasuk pejabat Roya TV pagi ini. (MyAqsaDefenders)

Oleh Rokiah

ANTARA kebejatan Israel dalam menghalang tersebarnya makar mereka kepada dunia ialah dengan menyasarkan wartawan yang menjadi sumber maklumat.

Terkini, wartawan Saeed Al-Taweel secara tragis kehilangan nyawanya ketika empat peluru berpandu Israel milik Tentera Rejim Zionis Israel (IOF) menyasarkan sebuah bangunan termasuk pejabat Roya TV dan pusat perubatan di bahagian barat Bandar Gaza awal pagi ini, menurut wartawan Roya.

Serangan udara Pendudukan Israel yang sengit di Semenanjung Gaza disambung semula di beberapa kawasan.

Terkorban dan hilang semasa bertugas adalah fenomena biasa berlaku kepada wartawan yang membuat liputan di Palestin. Sebelum tragedi yang menimpa Saeed, dua orang wartawan Palestin, Nidal Al-Wahidi dan Haitham Abdelwahid hilang semasa membuat liputan tentang serangan Israel ke atas Gaza.

Kehilangan mengejut Al-Wahidi dan Abdelwahid semasa liputan mereka mengenai perkembangan serangan itu berhampiran pusat pemeriksaan tentera Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza mendapat perhatian Palestinian Journalists Syndicate (PJS).

PJS bertindak menggesa Palang Merah Antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa campur tangan dan membantu memastikan nasib dua wartawan tersebut yang telah terputus komunikasi.

Al-Wahidi dan Abdelwahid hilang secara mengejut semasa liputan mereka mengenai perkembangan serangan Israel di utara Semenanjung Gaza. – Foto Palestinian Journalists Syndicate

Keadaan yang menimpa Saeed, Nidal dan Haitham terbaru ini menambah angka wartawan yang menjadi mangsa rejim Zionis ini sewaktu liputan di Palestin di mana Israel dikatakan melanggar kebebasan media yang bahkan dipanggil jenayah perang.

Ini kerana Institut Akhbar Palest sebelum ini pernah melaporkan terdapat 337 kes jenayah dan serangan oleh pihak berkuasa pendudukan Israel terhadap wartawan yang melaporkan di Palestin pada pertengahan tahun 2021.

Seramai tiga wartawan terbunuh dalam pencerobohan Israel ke atas Gaza pada waktu itu, 41 pejabat media musnah sepenuhnya, 32 sebahagiannya musnah, manakala 27 disasarkan oleh peluru berpandu.

Di Tebing Barat, 227 serangan ke atas sasaran sengaja telah didokumenkan, termasuk penahanan pencegahan, pencegahan liputan media, dan penyasaran yang dilakukan oleh Israel. Laporan itu juga mengatakan bahawa 31 wartawan ditembak dan cedera, 32 terkena gas pemedih mata, dan yang lain cedera selepas menjadi sasaran bom tangan.

Menyedari jenayah yang kelihatan sengaja dirangka Zionis Israel itu, PJS menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan kemanusiaan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan wartawan yang hilang, menekankan kepentingan melindungi wartawan dan memastikan keselamatan mereka ketika mereka menjalankan tugas penting dalam memberikan maklumat kepada orang ramai.

Sumber asal — https://hbit.my/kehilangan-tragis-wartawan-saeed-al-taweel-dalam-serangan-udara-bukti-israel-langgar-kebebasan-media/

— BebasNews

Leave a Reply