PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali (gambar kanan) dilantik sebagai Komander Operasi Bencana Peringkat Pusat bagi menghadapi bencana banjir terutamanya ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku bulan depan hingga Mac 2024.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (gambar bawah, kiri) berkata, pelantikannya ialah sebahagian perancangan atur gerak rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan MTL dijangka bermula lebih awal pada tahun ini.

“PDRM telah mengenal pasti negeri-negeri berisiko tinggi (banjir) seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak serta 5,648 kawasan ‘titik panas’ (hotspot) banjir di 163 daerah di seluruh negara untuk memudahkan atur gerak rapi ini dan Pelan Intervensi Keselamatan,” katanya dalam kenyataan media menerusi Facebook PDRM, hari ini.

Dalam menghadapi MTL katanya, terdapat lima agensi kerajaan yang akan ditugaskan dengan jumlah kekuatan keseluruhannya ialah 61,839 orang yang merangkumi:

  • 19,085 orang dari PDRM
  • 4,205 orang dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
  • 24,114 orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
  • 10,510 orang dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
  • 3,925 orang dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“PDRM juga bersiap sedia untuk menggerakkan aset-aset seperti 503 bot banjir, 206 treler bot, 497 lori, 802 kereta pacuan empat roda, 17 ambulans/van, 15 ski jet, 6,028 jaket keselamatan dan lapan pesawat udara mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana,” katanya.

Kata beliau, PDRM bersama-sama rakan-rakan agensi keselamatan lain akan sentiasa mengambil tindakan segera di kawasan terlibat bencana banjir.

Masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihat agar memberikan kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah demi keselamatan dan mengelak kejadian tidak diingini, tegasnya.

PDRM juga kata beliau, akan memastikan peranan utama berhubung tahap keselamatan di sempadan negara kekal diberikan tumpuan sepanjang penugasan bencana banjir. – BebasNews

Leave a Reply