SULTAN Ibrahim berjalan beriringan dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) keluar dari dewan Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-263 di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto FB Sultan Ibrahim

MAJLIS Raja-raja dalam Mesyuaratnya Ke-263 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (gambar kanan) dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun mulai 31 Januari 2024.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Majlis Raja-raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun mulai tarikh sama.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari tahun depan setelah menyandangnya sejak 31 Januari 2019.

Al-Sultan Abdullah juga ialah Sultan Pahang.

SULTAN Ibrahim dipeluk Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga adindanya sambil diperhatikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kiri) di Istana Negara. Syed Danial Syed Ahmad (kiri). – Foto FB Sultan Ibrahim

“Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini telah dipengerusikan Sultan Terengganu. Sultan Mizan Zainal Abidin dan dihadiri semua Raja Melayu kecuali Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) dan Sultan Kelantan (Sultan Muhammad Kelima).

“Menurut peruntukan Perenggan Ketiga Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, keputusan Majlis Raja-raja ini telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara).

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Kuala Lumpur, hari ini. – BebasNews

Leave a Reply