KEMENTERIAN Kerja Raya mengumumkan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya mulai 12.01 pagi esok (11 November ini) hingga 11.59 malam, Ahad ini (12 November ini) sempena sambutan perayaan Deepavali.

Pengecualian ini akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Tanjung Kupang, Johor, kata Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar atas) dalam kenyataan media hari ini.

“(Tol percuma ini) selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani kerajaan dan persetujuan Jemaah Menteri dalam mesyuarat 18 Januari lalu, bersempena Deepavali yang akan disambut kaum India beragama Hindu pada 12 November.

“Ini juga selari hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama dan kaum,” katanya.

Alexander menambah, pemilihan esok dan Ahad ini bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke bandar membabikan anggaran 11.8 juta kenderaan. 

“(Langkah ini juga) dapat mengoptimumkan operasi dan penyelarasan logistik tambahan antaranya pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas dan keperluan lain melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah dan Rehat dan Rawat (R & R) di sepanjang lebuh raya.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, pengguna lebuh raya diharap dapat memanfaatkannya selain merancang perjalanan dengan sebaiknya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA),” katanya.

Beliau juga menggesa mereka mengutamakan aspek keselamatan dan pemanduan berhemah supaya dapat tiba ke tempat tujuan dengan selamat. — BebasNews

Leave a Reply