TEROWONG TRX sepanjang lima kilometer mampu menghubungkan 12 lebuh raya dan jalan utama sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. – Foto KKR

TEROWONG TRX mempunyai akses langsung dengan Jalan Tun Razak dan Lebuh Raya SMART. – Foto KKR

TEROWONG Tun Razak Exchange (TRX) yang mampu menghubungkan 12 lebuh raya, akan dibuka kepada orang ramai mulai Rabu ini, 29 November iaitu pada hari pembukaan rasmi pusat beli-belah The Exchange TRX dan Taman Bandar TRX.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam laman sosial Facebooknya menyatakan, terowong bawah tanah TRX sepanjang lima kilometer ini mempunyai akses langsung kepada Jalan Tun Razak serta Lebuh Raya Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

“Terowong TRX mampu membentuk satu sistem pusingan yang akan memudahkan kenderaan-kenderaan keluar dan masuk ke tempat parkir di bawah bangunan dan mengelakkan jalan raya yang sibuk.

“Dua belas lebuh raya dan jalan utama dalam rangkaian Terowong TRX ialah Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), Terowong SMART dan Lebuhraya Setiawangsa – Pantai Expressway (SPE),” lapor laman berkenaan, semalam.

ALEXANDER Nanta Linggi (rompi hijau) mendapat taklimat daripada pihak pengurusan TRX City Sdn. Bhd. – Foto KKR

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut mengadakan lawatan kerja semalam bagi meninjau infrastruktur jalan raya di sekitar TRX termasuk laluan terowong kenderaan bawah tanah.

“Jaringan lebuh raya menghubungkan banyak tempat sekitarnya selain memudahkan perjalanan keluar masuk kenderaan-kenderaan para pengguna.

“Pembangunan di sini juga akan memberikan satu suntikan yang akan merancakkan ekonomi setempat,” kata beliau, dipetik daripada Berita RTM.

Hadir sama dalam lawatan ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh. — BebasNews

KEMUDAHAN Terowong TRX akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas ibu kota terutama pada waktu puncak. – Foto KKR

Leave a Reply