KERAJAAN bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari pada Sabtu dan Selasa ini (23 dan 26 Disember ini) kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena Hari Krismas, Isnin ini.

Pengecualian tol diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (gambar bawah, kanan).

“Pemberian tol percuma ini diharap dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat atau bercuti bersama-sama keluarga yang juga sempena cuti sekolah,” katanya dalam Facebook kementerian, hari ini.

Pemilihan kedua-dua tarikh ini juga bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan, tambahnya.

Selain itu akan membantu keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya, kata Ahmad.

Justeru beliau berharap para pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan  (TTA).

“Pengguna juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.

“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini dalam media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM pada talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply