KUMPULAN lapan mantan pemimpin pelajar dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) kelmarin menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas, Bumiputera Bertindak bagi menangani isu-isu membabitkan pengoperasian, dakwaan salah laku, pelanggaran tadbir urus korporat dan pembaziran institusi pengajian tinggi itu yang menjadi buah mulut masyarakat khususnya warga UiTM dan para alumninya.

Jawatankuasa ini akan berfungsi sebagai pemantau dan pemberi maklumat (whistleblower) bagi memastikan institusi menara gading keramat Bumiputera itu menjadi Bersih, Berintegriti, Telus dan Dihormati oleh semua warga dan pemegang taruhnya.

“Bumiputera Bertindak juga ditubuhkan atas kesinambungan semangat juang Melayu Bumiputera ketika penubuhan Institut Teknologi Mara (ITM) pada era awal 70-an dan kerana terlalu sayang akan institusi itu yang kini dikenali sebagai UiTM.

“Antara isunya ialah kerugian UiTM Holdings dan beberapa pelanggaran dan kelemahan tatakelola yang mencurigakan seperti yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini,” lapor satu kenyataan media oleh Barisan Bertindak, hari ini.

Kenyataan itu menambah, Jawatankuasa Bumputera Bertindak pada peringkat permulaan akan digerakkan oleh mantan-mantan pemimpin pelajar dan alumni universiti itu seperti:

i- Datuk Dr. Ibrahim Ali (gambar bawah kiri, mantan pemimpin pelajar ITM dan mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM),

ii- Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Presiden Alumni UiTM Malaysia, mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM dan mantan Menteri Kabinet),

iii- Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah (gambar kanan, mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Naib Canselor UiTM dan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM),

iv- Datuk Mohd. Zaini Hassan (mantan Presiden Alumni UiTM Malaysia dan mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM),

v- Datuk Seri (Dr.) Mohamed Azahari Mohamed Kamil (mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM dan alumni UiTM),

vi- Datuk Dr. Ruhanie Ahmad (mantan pemimpin pelajar ITM dan mantan Ahli Parlimen),

vii- Dr. Azmi Abd. Hamid (mantan Prof. Madya UiTM, mantan Pengarah Unit Risiko UiTM dan alumni UiTM),

viii- Noor Hazril Norizan (Penolong Setiausaha Bumiputera Bertindak).

“Bumiputera Bertindak turut menyusun tindakan tertentu bagi memastikan siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap UiTM dapat dilaksanakan secara tuntas.

“Kami mahu memastikan kes-kes yang disiasat SPRM tidak lagi hanya berstatus NFA atau No Further Action  (Tiada Tindakan Lanjut) yang akan memberi gambaran ada campur tangan pihak-pihak tertentu menyekatnya dan kehakisan kepercayaan terhadap integriti UiTM.

“SPRM digesa mempercepat siasatan agar mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana UiTM dibawa kepada muka pengadilan sekali gus menjadi teladan dan sempadan kepada pegawai-pegawai universiti ini agar tidak sesekali mengambil kesempatan demi kepentingan diri.

“Bumiputera Bertindak bertegas, tiada masa lagi untuk kita melindungi dan menyembunyikan (brush under the carpet) sebarang salah laku dalam tatakelola institusi berkenaan atau mana-mana institusi sekalipun,” lapor kenyataan itu.

Langkah ini turut diharap menjadi peringatan kepada matlamat penubuhan UiTM Holdings sebagai Investment Arm (Jentera Pelaburan) yang boleh membawa keuntungan kepada UiTM dan bukannya merugikannya.

Bumiputera Bertindak juga menyeru semua alumni UiTM yang dianggarkan sejuta orang dan orang awam, tampil memberikan sokongan kepada usaha murni ini.

“Kami juga merancang mengadakan taklimat terbuka dengan para alumni UiTM berhubung beberapa isu umum membabitkan UiTM pada penghujung Januari 2024 selain mengatur siri pertemuan peringkat tertinggi dengan beberapa pihak,” lapor kenyataan tersebut.

KEMAS KINI

Ibrahim dalam wawancara oleh SumberTV, memberitahu: “Nama Bumiputera Bertindak ini mengambil sempena kebangkitan 6,000 pelajar ITM yang berarak dari Shah Alam ke Parlimen pada 22 April 1974 bagi menuntut insititusi itu dinaiktarafkan sebagai universiti.”

Bumiputera Bertindak mahu menjadi pemantau perjalanan UiTM supaya berkembang dan maju kembali sebagaimana matlamatnya ditubuhkan demi mengangkat martabat dan darjat orang-orang Melayu.

“Penubuhannya juga ekoran isu UiTM Holdings yang kerugian ratusan juta RM malah dua kali laporan kepada SPRM telah dibuat.

“Kami menuntut mereka yang bertanggungjawab dalam kerugian ini, didakwa di mahkamah. SPRM juga digesa bertindak dengan sewajarnya. Adakala laporan dibuat senyap begitu sahaja, kami tidak akan biarkan penyelewengan ini berlaku dan berulang pada masa hadapan.”

Bumiputera Bertindak juga katanya akan menangani isu-isu semasa berkaitan bangsa Melayu kerana kedudukannya yang ibarat telur di hujung tanduk sejak perubahan kerajaan pusat yang membabitkan banyak dasar diubah termasuk yang ada kena-mengena dengan hak bumiputera.

“Graduan UiTM ada hampir sejuta orang yang merupakan golongan Melayu terpelajar dan profesional serta sepatutnya dimanfaatkan untuk menegakkan kepentingan dan hak bangsa Melayu di bumi sendiri,” tegasnya. – BebasNews

Leave a Reply