FAHMI Fadzil (tengah) mengumumkan berita gembira buat para peminat bola sepak tanah air dengan siaran langsung Piala Asia 2023/2024 menerusi RTM. 

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2023/2024 di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari ini yang bukan hanya membabitkan perlawanan pasukan kebangsaan, Harimau Malaya tetapi juga 23 pasukan lain.

Berita gembira buat para peminat bola sepak tanah air ini diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam sidang media yang disiarkan laman Facebook kementerian, petang ini.

“Berkenaan Piala Asia AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang akan dimainkan di Qatar bermula 12 Januari ini, ada beberapa pihak bertanya sama ada (kejohanan itu) disiarkan dalam RTM.

“Jawapannya ya, akan disiarkan bermula 12 Januari ini dan saya telah mendapat pengesahan daripada pihak-pihak yang berwajib, in shaa Allah akan disiarkan. Jadi kita boleh tontonnya (menerusi) RTM bermula 12 Januari ini.

“Jangan risau pihak kerajaan akan pastikan kita dapat tonton perlawanan yang melibatkan bukan hanya Harimau Malaya tetapi juga pasukan-pasukan lain dalam Piala Asia ini,” katanya.

Pasukan kebangsaan Malaysia akan membuka tirai kempen Kumpulan E Piala Asia Ke-18 ini dengan menentang Jordan di Stadium Al Janoub (AJS), Al-Wakrah, Qatar pada 15 Januari ini (pukul 1.30 pagi 16 Januari waktu kita).

Skuad kendalian Kim Pan-gon ini seterusnya bakal berdepan Bahrain di Stadium Jassim Hamad, Doha, Qatar pada 20 Januari ini (10.30 malam waktu Malaysia) dan Korea Selatan di AJS, 25 Januari (7.30 malam waktu Malaysia). – BebasNews

HARIMAU Malaya akan berdepan Jordan dalam kempen Kumpulan E Piala Asia di Qatar pada 15 Januari ini (16 Januari waktu Malaysia). – Foto FAM

Leave a Reply