MOHD. Zuki Ali (kiri) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ketua Pengarah JPA yang baharu kepada Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – Foto KSN

DATUK Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz diumumkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang baharu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan Dahlan, 58, telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang seperti dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah menjadi Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki itu, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha dan memastikan pembaharuan sektor awam selari aspirasi Malaysia Madani,” kata Zuki dalam kenyataan media hari ini.

Dahlan juga pernah berkhidmat seagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara dan di JPA dengan keseluruhannya selama 29 tahun sejak menyertai sebagai Penolong Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan Universiti Malaya.

Kerajaan juga kata Zuki, merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed atas segala khidmat baktinya sebagai Ketua Pengarah JPA terdahulu. – BebasNews

Leave a Reply