AHLI Parlimen (MP) Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (gambar atas) mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai hari ini sekali gus menjadi MP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keenam yang berbuat demikian.

Kata beliau, pengisytiharan sokongan ini kerana menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

“Keputusan ini bertujuan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di kawasan Parlimen saya terus terbela dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zulkafperi, 65, mengikut jejak lima lagi MP Bersatu seperti Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang pada 28 November lalu), Zahari Kechik (Jeli, 8 November), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang, 7 November), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan, 30 Oktober) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar, 12 Oktober).

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang berkata, sokongan itu diberikan kerana dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

“Pengisytiharan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri ke-10 ini dibuat tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang,” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang keraguan tegas Zulkafperi, “saya masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati parti ini.

GAMBAR KANAN: Zulkafperi Hanapi tetap setia dengan Bersatu. – Foto FB ZH

“Namun demi memastikan kelangsungan P095 Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Persekutuan, wajarlah saya bersama kepemimpinan Putrajaya yang diketuai Anwar,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply