MANTAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar atas) diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan denda yang perlu dibayar, iaitu daripada 12 tahun dan RM210 juta kepada hanya enam tahun dan RM50 juta.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Datuk Seri Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iatu 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Pengurangan ini diputuskan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuaratnya kali ke-61 pada Isnin lalu yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” lapor kenyataan media lembaga berkenaan, hari ini.   

Lembaga berkenaan di Bahagian Hal-ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, menambah,“sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib akan ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasannya ialah 23 Ogos 2029.

“Mesyuarat Lembaga telah mempertimbangkan lima kertas pengampunan termasuk permohonan Datuk Seri Najib,” lapor kenyataan itu.  

Najib, 71, sedang menjalani hukuman itu selepas disabitkan kesalahan pada 2020 dan rayuannya ditolak Mahkamah Persekutuan dua tahun kemudian bagi tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC). – BebasNews

Leave a Reply