Oleh Norelme Mokhtar
Pendidik Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara

ALAM SEMULAJADI dan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan. Aktiviti sebegini dapat menanamkan rasa cinta kanak-kanak kepada alam sekitar dan melatih mereka untuk menjadi pencinta alam sekitar. Malah kanak-kanak juga belajar menghargai serta menyayangi setiap flora dan fauna yang tumbuh mewarnai persekitaran mereka.

Meneroka alam semulajadi merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang berkesan kerana ianya memberi pengalaman secara langsung yang melibatkan penggunaan kelima-lima deria iaitu penglihatan, sentuhan, rasa, bau dan pendengaran kepada kanak-kanak.

Nature Walk antara kaedah yang memberi banyak impak yang besar dalam pertumbuhan kanak-kanak dan membentuk kestabilan emosi sehingga mampu memberi sentuhan dalam setiap aspek penilaian perkembangan yang ingin ditekankan pendidik melalui aktiviti ini.

Bagi mewarnai pembelajaran berpusatkan alam, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) berinisiatif memberikan pengalaman menanam pokok bunga matahari bersama lebih 50 kanak-kanak terlibat di Pusat Agriculture Fakulti Teknik dan Vokasional, Malim Prima.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Pertanian UPSI, Ts. Dr. Mohd Amirul bin Hussain menjelaskan bahawa lawatan sebegini sangat dialukan untuk memberi pengalaman yang bermakna kepada mereka yang berkunjung.

“Selain kita dapat merasakan pengalaman baru mempelajari ekosistem dalam kehidupan flora dan fauna kita, kita juga dapat bergambar dan menjadikan satu memori yang terindah untuk kanak-kanak bersama kawan mereka dan juga pendidik mereka. Pembelajaran yang terbaik adalah apabila mereka dapat merasai sendiri pembelajaran tersebut sehingga mereka mampu bercerita satu per satu tentang apa yang dipelajari,” katanya.

Pengurus Taska Tadika NCDRC, Norazlina Khairudin menyatakan program lawatan sebegini boleh diadakan pada akan datang dan bukan hanya memberi pengalaman kepada kanak-kanak tetapi memberi kesan dalam perkembangan sosio emosi serta kognitif kanak-kanak.

Tidak hanya berpeluang menanam pokok bunga matahari, kanak-kanak juga diberikan
peluang untuk melihat bagaimana proses membela ikan keli dan talapia.

“Saya sentiasa membuka ruang kepada pendidik untuk bebas menjalankan kreativiti mereka selagi mana ianya berkesan besar dalam pembelajaran kanak-kanak. Saya juga merasakan bahawa tidak hanya kanak-kanak yang merasai pengalaman ini, ia juga membuka mata pendidik untuk terus membawa elemen keindahan alam dalam pembelajaran kanak-kanak,” ucapnya.

“Tak perlu pergi jauh-jauh untuk bergambar, di Tanjong Malim pun dah ada taman bunga matahari sebegini”. Ujar pendidik Puan Yusnita Binti Mohd Yusup sambil tersenyum menzahirkan keterujaannya melihat kecantikan bunga matahari yang indah dipandang.

“Memori ini akan diabadikan antara kanak-kanak dengan pendidik. Kanak-kanak juga dapat pengalaman bagaimana menanam pokok bunga matahari dimana ianya hanya daripada kuaci yang dimakan. Begitu seronok melihat kanak-kanak tidak sabar untuk mengambil pengalaman tersebut.” katanya lagi.

UPSI sememangnya sentiasa hadir dengan pelbagai sentuhan kreatif dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan kepada bakal guru. Perkara ini menjadi bukti bahawa semua warga UPSI sentiasa memberikan yang terbaik demi menjadikan UPSI sebagai universiti peneraju kebitaraan pendidikan yang terbaik dalam dan luar negara.

— BebasNews

Leave a Reply