MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (duduk, tengah) menunjukkan isyarat bagus dengan barisan pemenang TOYTA 2023 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu. – Foto KPKT

HADIAH wang tunai RM20,000 atau kenaikan sekali ganda berbanding RM10,000 tahun lalu, menanti pemenang-pemenang tujuh kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Tandas Terbaik (TOYTA) 2024 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Anugerah ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap betapa pentingnya menjaga kebersihan tandas dan memberikan pengiktirafan kepada tandas-tandas awam milik swasta dalam  menyediakan kemudahan itu yang bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

Laman sesawang Jabatan Kerajaan Tempatan melaporkan, tujuh kategori berkenaan ialah Pihak Berkuasa Tempatan, Sekolah, Hotel, Restoran, Konsesi Lebuh Raya Bagi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Stesen Minyak dan Pusat Beli-belah.

“Sijil dan piala turut akan dihadiahkan kepada para peserta yang berjaya ke peringkat akhir,” lapor laman itu lagi.

TOYTA 2024 yang turut sebagai satu langkah bagi memenuhi keperluan dan aspirasi nasional, terbuka kepada semua tandas awam bertaraf lima mengikut kategori yang dipertandingkan kecuali pemenang utama TOYTA 2023.

“Setiap gambar yang dihantar perlu disertakan bersama keterangan mengenai gambar tersebut manakala rakaman video berkaitan tandas yang dicalonkan berdurasi maksimum tiga minit.

“Penyertaan bermula pada 2 Februari 2024 manakala penyertaan yang lengkap perlu dikemukakan kepada urus setia TOYTA 2024 sebelum atau pada 1 April 2024,” lapor laman berkenaan.

Keterangan lanjut TOYTA 2024 boleh diperoleh dengan melayari https://jkt.kpkt.gov.my/ms/pengumuman/penyertaan-anugerah-toilet-year-2024?fbclid=IwAR1KPVzoc8ccB4Ay97IZeKVt5IzMvWEJuREMcg_7d9Jz8sHVAxud_6X_3mQ.

TOTYA 2023 beroleh 345 penyertaan dengan lima kategori telah dipertandingkan iaitu Hotel, Pusat Beli-belah, Kawasan Rehat dan Rawat (R & R), Stesen Minyak dan Restoran.

SENARAI PEMENANG TOYTA 2023

Kategori Hotel: The George Penang The Cruse Collection, Pulau Pinang

Kategori Restoran: Cawan Mu FMB Sdn Bhd, Ipoh, Perak

Kategori Pusat Beli Belah: Toppen Shopping Centre, Johor

Kategori Stesen Minyak: Petron Senai Jaya, Senai, Johor

Kategori Rehat dan Rawat (R & R): R & R Elmina Arah Selatan, Lebuh Raya Koridor, Guthrie, Selangor. – BebasNews

Leave a Reply