SAAT manis Rajesh Khanna dan Anju Mahendru. Credit: Foto News 18

BENARLAH cinta pertama paling indah dalam hidup. Jika sekali pun cinta itu tidak berakhir dengan simpulan tali perkahwinan, segala kenangan manis akan terpahat dalam hati hingga akhir hayat.

Begitu kisah cinta superstar, mendiang Rajesh Khanna, yang meninggal dunia pada Julai 2012, dan aktres Anju Mahendru, 78 tahun. Mereka adalah pasangan kekasih setia selama tujuh tahun, dari akhir 60-an hingga awal 70-an.

Namun takdir tidak menentukan mereka hidup bersama. Bahtera kasih yang dilayari tenggelam di tengah lautan. Kisah cinta mereka bagai dua garisan selari, sentiasa seiringan sepanjang jalan tetapi tidak mungkin bertemu.

Setelah sekian lama bercinta, malah hidup bersama, Rajesh meninggalkan Anju, berkahwin dengan Dimple Kapadia, aktres yang menempa kejayaan gemilang setelah diperkenal ke layar perak oleh Raj Kapoor melalui filem ‘Bobby’ (1973) berpasangan dengan anaknya, Rishi Kapoor.

RAJESH KHANNA, Dimple Kapadia dan Akhsay Kumar. Credit: Foto NDTV

Anju sangat kecewa kerana dia mencintai Rajesh sepenuh hati hati. Ketika mereka mula bercinta, Rajesh memberi sokongan kuat kepada Anju membina karier dalam filem dan model.

Cinta di layar perak membuahkan cinta di luar set penggambaran antara Rishi dengan Dimple. Pasangan remaja ini dilihat sebagai cocok dan digosip akan berkahwin, apatah lagi selepas kejayaan besar ‘Bobby’. Malah mereka pernah menjalin hubungan tetapi putus.

Rajesh Khanna yang ketika itu sudah mencipta nama sebagai bintang filem, segera mengambil peluang melamar Dimple. Mereka berkahwin pada tahun 1973 ketika Dimple baru berusia 16 tahun. Rishi pula bertemu jodoh dengan aktres Neetu Singh.

Rajesh telah membintangi banyak filem box-office, antaranya Aradhana, Haathi Mere Saathi, Kati Patang, Anand, Dushman, Roti, Mere Jeevan Shaathi, Aan Milo Sajna, Apna Desh dan banyak lagi. Anju Mahendru antara lain membintangi Jewel Thief, Bandhan, Intaqam, serta siri TV Kahiin To Hoga dan Kasautii Zindagi Kay.

ANJU MAHENDRU kekasih setia Rajesh Khanna hingga penghujung nyawa. Foto Wikipedia

Kenapa Rajesh berubah hati mengahwini Dimple sedangkan telah bertahun-tahun memadu kasih dengan Anju, malah tinggal bersama? Ada andaian mengatakan Rajesh mahu mengambil kesempatan daripada populariti Dimple ketika itu untuk menambah hebat namanya sendiri.

Tetapi andaian ini tidak tepat. Perubahan drastik Rajesh sebenarnya kerana dia kecewa dengan sikap Anju yang tidak dapat membuat keputusan muktamad atau memberi komitmen walau pun setelah berkali-kali Rajesh menyatakan mahu menokhtahkan hubungan mereka dengan tali perkahwinan.

Pada usia 27 tahun, ibu Rajesh mendesak agar dia berkahwin. Lalu Rajesh melamar Anju tetapi ditolak. Selepas beberapa tahun, sekali lagi Rajesh melamar tetapi sekali lagi titolak sedangkan usia makin mmeningkat. Kerana itu akhirnya Rajesh mengambil keutusan menamatkan hubungan mereka pada 1972.

Sebab utama Anju menolak lamaran kerana Rajeh memberi syarat mahu dia meninggalkan dunia lakonan setelah berkahwin. Syarat ini sukar dipersetujui oleh Anju yang ketika itu sedang mencipta nama sebagai pelakon dan model.

Sikap Anju ini meletakkan Rajesh di persimpangan. Baginya masa sudah tiba mendirikan mahligai tetapi kekasih hati pula terus berteka teki. Akhirnya dalam situasi ini, dia memetik Dimple menjadi isteri.

Selepas berkahwin, Dimple tidak lagi berlakon sehinggalah beberapa tahun kemudian. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Twinkle Khanna dan Rinke Khanna. Twinkle Khanna ialah isteri bintang popular Bollywood, Akhsay Kumar.

Selepas Rajesh berkahwin dengan Dimple, dia dan Anju tidak bertegur sapa selama 17 tahun. Bagaimana pun ikatan kasih tetap tidak terurai. Pada 1988 kedua-duanya melupakan persengketaan dan kembali mesra. Hubungan Anju dengan Dimple juga baik, sering didihat bersama dalam majlis-majlis tertentu.

Jelas, hubungan cinta membentuk ikatan kukuh yang sukar dirungkai, walau pun tidak menjadi suami isteri. Tambahan ketika itu rumah tangga Dimple dan Rajesh bergelora. Mereka dilapor hidup berasingan.

Hanya ketika Rajesh sakit dan sebelum kematiannya, Dimple cuba kembali berbaik dengan suaminya. Kekosongan akibat ditinggal oleh Dimple mengeratkan kembali hubungan mesra Rajesh dan Anju.

Anju sentiasa berada di sisi Rajesh memberi sokongan ketika dia sakit, untuk berapa tahun sebelum kematian Rajesh pada 2012 pada usia 70 tahun kerana barah. Anju menjadi teman setia menjaga keperluan perubatan Rajesh dan menemani mendiang ke hospital.

Kematian Rajesh nemberi tamparan hebat kepada Anju. Air matanya mengalir setiap kali bercerita mengenai kekasihnya. Bagi Anju, yang sangat menyentuh hati ialah dia menghadap dan memegang tangan Rajesh ketika mendiang menghembuskan nafas terakhir.  Anju puas, walau hatinya hancur.

— BebasNews

Leave a Reply