MAJLIS Sukan Negara (MSN) bersedia menamatkan kontrak dengan serta-merta jika terdapat atlet atau pegawai yang terbabit dengan salah laku dalam program latihan kelolaannya.

Penamatan itu merupakan antara tindakan tegas MSN termasuk bagi dakwaan minggu lalu berkaitan salah laku seksual seorang jurulatih para akuatik renang terhadap atlet jagaannya seperti dilaporkan media.

“MSN tidak pernah berkompromi dan melindungi mana-mana jurulatih, atlet atau pegawai terbabit salah laku itu.

“Dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat itu juga tidak berasas selain tidak pernah menerima laporan atau aduan mana-mana atlet sebelum aduan terbaharu ini,” lapor majlis dalam kenyataan media hari ini.

MSN menurut kenyataan tersebut, sedang menjalankan siasatan dakwaan terbabit dan Pegawai Pelindung Sukan yang diberi kuasa di bawah Kod Sukan Selamat telah mengambil langkah-langkah perlu untuk melaksanakan siasatannya.

Antara tindakannya lapor kenyataan berkenaan, menemu bual pihak-pihak berkaitan dakwaan itu malah kerjasama penuh diberikan kepada polis yang membuka kertas siasatan termasuk mencari cara mesra dan melindungi privasi atlet terlibat.

MSN tambah kenyataan itu, menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan kod tersebut dan sentiasa mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet program latihan MSN selain menitikberatkan keselamatan dan kebajikan mereka termasuk mewajibkan pegawai pengiring atlet yang bertanding di luar negara mulai tahun lalu.

Sepanjang tempoh siasatan itu MSN juga memohon kerjasama media dan umum supaya tidak mencetuskan atau menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak tanggapan negatif yang mampu menjejaskan prosesnya. – BebasNews

Leave a Reply