KAPTEN dan bek tengah B-23 negara, Harith Haikal Adam Afkar (kiri) penjaring gol kemenangan 1-0 terhadap B-23 China di Shanghai, 23 Disember lalu. – Foto FAM 

JEPUN tidak jadi sebaliknya China dan Qatar yang bakal ‘bersparring’ dengan skuad Bawah 23 Tahun Malaysia menjelang Piala Asia B-23 di Qatar dari 15 April hingga 3 Mei ini.

Hanya B-23 India pula disahkan akan bermain satu lagi persahabatan di Malaysia manakala ketiga-tiga perlawanan tadi dijadualkan di Qatar apabila skuad belia negara kendalian Juan Torres Garrido berlepas awal ke negara Teluk itu kemungkinan pada 1 atau 2 April ini.

“India sah di sini (Malaysia), lawan Qatar mungkin dua kali dan China di sana (Qatar), itu yang sah setakat ini,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin dalam video lawatannya terhadap atlet pelatih Sukan Olimpik Paris 2024, Nur Shazrin Mohamad Latif di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

B-23 China pernah ditewaskan Tim Torres 1-0 namun tuan rumah menang 2-1 dalam siri perlawanan antarabangsa tahap 2 pada 23 dan 26 Disember lalu di Stadium Jinshan, Shanghai.

Hamidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM turut merupakan Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

 

 

 

 

GAMBAR KIRI: Hamidin Amin (kanan) dan atlet pelayaran pelatih Olimpik Paris, Nur Shazrin Mohamad Latif di Petaling Jaya, Selangor, semalam. – Foto MOM

Tim Torres akan berdepan Uzbekistan dan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha pada 17 dan 20 April ini serta Kuwait di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, 23 April ini dalam saingan Kumpulan D Piala Asia B-23 yang juga medan kelayakan Olimpik Paris.

Hanya tiga terbaik Piala Asia B-23 akan layak automatik ke Olimpik Paris manakala slot keempat perlu disaingi dengan pasukan dari Afrika dalam play-off.

Hamidin turut menyerahkan kepada budi bicara dan cita rasa pengendali warga Sepanyol itu untuk menyerapkan sayap kanan Harimau Malaya penjaring gol kedua menentang Korea Selatan ketika Piala Asia 25 Januari lalu, Arif Aiman Hanapi bersama-sama skuad Piala Asia B-23.

Namun katanya, “kalau kita tengok di Eropah pemain bawah umur kalau sudah pergi tim atas (senior), dia tidak akan pergi tim bawah (umur) lagi, itu semangatnya. Kalau pergi semua (kejohanan), dia akan pengsan. Kesudahannya (pemain itu) pada kelabnya,” katanya.

Mengenai persediaan ‘Kandang Harimau Malaya’, Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dikhuatiri rosak akibat konsert artis Barat, Ed Sheeran Sabtu lalu, kata beliau, “saya akan melawatnya awal Mac ini dengan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac. Kami akan tengok keadaannya ketika itu.

“Kalau tidak bagus, pergi tempat lain sama ada Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dan Stadium Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu untuk pasukan negara melawan Oman, 26 Mac ini (pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027
Kumpulan D).  

Katanya ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dijangka menyenaraikan pemain-pemain bagi panggilan kem latihan pusat menjelang kelayakan itu pada minggu ini atau hadapan.

GAMBAR KANAN: Kejaguhan Arif Aiman Hanapi (12) yang terserlah pada Piala Asia, bulan lalu terus ditagih pada Piala Asia B-23 juga di Qatar, April ini. – Foto FAM   

“Kekangannya ialah Liga Malaysia tidak bermula lagi, hanya Mei (musim 2024-2025). Ada pemain yang masih bercuti dan sedikit pasukan yang baru mula latihan. Pan-gon akan muktamadkan (senarainya),” katanya. — BebasNews

Leave a Reply