AZMIR SAIFUDDIN MUTALIB

PERIBAHASA Melayu ada berkata ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ dan itulah yang dihadapi FINAS apabila menyentuh mengenai Dana Kandungan Digital (DKD) kepada penggiat industri kreatif sebagai pemangkin utama ekonomi negara disamping memartabatkan budaya bangsa.

Sebabnya apabila menyentuh DKD yang mula diperkenalkan pada April 2015, FINAS bagaikan “ditelan mati emak, diluah mati bapak’ bila ada yang mempersoalkan ketelusan dalam pengagihannya disamping mendakwa daripada 10 penerima DKD hanya dua yang berjaya.

Menyedari itulah, kini dalam pembahagian dana FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) lebih teliti demi merancakkan pembangunan industri kreatif tempatan agar mampu bersaing dan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Tidak dinafikan sebelum ini banyak penerima dana yang gagal. Gagal yang dimaksudkan untuk menyiapkan filem dan gagal di pawagam apabila tidak mendapat sambutan daripada penonton. Dalam soal ini kami tidak boleh tutup mata.

“Setelah berbincang dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan, FINAS akan membuat perubahan sesuai dengan amanat Menteri, Fahmi Fadzil, iaitu hanya filem berkualiti layak menerima dana kerana filem berkualiti sahaja yang boleh diekspot dan meningkatkan box office.

“Melalui perbincangan, kami bersepakat tunjang utama kejayaan dan kualiti sesebuah filem adalah skrip. Jika skrip tidak mantap apabila ke fasa penerbitan ia akan menjadi chacha marba,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Azmir Saifuddin Mutalib, FINAS hanya akan memberi dana kepada syarikat penerbitan bersandarkan apakah mereka telah bersedia dan adakah skrip itu milik mereka. Ini amat penting kerana kadangkala ada yang mengambil penulis skrip dan pengarah tangkap muat.

SATU babak dari filem “All In” terbitan Asia Tropical Film ditayang pada musim perayaan Tahun Baru Cina sehingga kini berjaya mencatat kutipan lebih RM5 juta.

“Melalui cadangan yang kami lontarkan kepada kementerian, sebelum syarikat penerbitan menerima dana, skrip memainkan peranan penting. Kalau skrip itu bagus dan menarik, ramai yang mahu melabur dalam filem berkenaan.

“Disebabkan itu, kami akan fokus skrip terlebih dahulu kerana ia mengambil masa dan ini dipersetujui pihak Lembaga Penapisan Filem.

“Pemilihan bersandarkan proposal dan apabila diterima pihak kami akan memberi syarikat berkenaan Dana Pembangunan kerana untuk menyiapkan skrip, ia mengambil masa antara empat hingga enam bulan.

“Tetapi saya mencadangkan semasa proses ‘pembangunan skrip’ produser mesti tahu siapakah pelabur penerbitan dan pengedar pilihan mereka. Ini penting kerana bila skrip siap dan sebelum melangkah ke proses produksi mereka sudah ada siapakah pengedar filem terbitan mereka.

“Baru-baru ini ada agensi pengiklanan yang pegang jenama besar dan terkenal berminat untuk melabur dalam filem tetapi jika filem dah siap ia menyukarkan pada syarikat tertentu ataupun ‘client’ yang berminat untuk melabur.

“Dengan cara ini, mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian pada skrip. Saya sedang menyusun dimana jika boleh pihak penerbitan menggunakan semaksimum dana berkenaan, jangan gunakan 100 peratus dana yang diperolehi kerana ia akan menimbulkan risiko kepada FINAS dan kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang sepatutnya pihak penerbitan ada pelbagai pelabur seperti filem ‘Polis Evo,’ ‘Malbatt’ dan ‘Abang Adik’ yang mana mereka mempunyai antara lima hingga enam pelabur,” jelas Azmir Saifuddin Mutalib.

Beliau memberitahu FINAS juga sedang berbincang dengan beberapa bank bagaimana para penerbit boleh mendapatkan pinjaman kerana faham pihak bank susah mahu melabur dalam filem.

Disamping itu, katanya, perbincangan juga melibatkan ASTRO dan Media Prima sebagai pelabur penerbitan dalam usaha mewujudkan eko-sistem pembiayaan filem yang lebih teratur.

Menyentuh dakwaan segelintir penerbit filem mengenai sikap pilih kasih dan daripada 10 penerima DKD berjumlah antara RM500,000 sehingga RM1 juta hanya dua yang berjaya, Azmir Saifuddin Mutalib menafikan sambil berkata;

“Saya ingin perbetulkan dakwaan yang salah itu. Sebenarnya hanya 20 peratus yang gagal sedangkan 80 peratus lagi berjaya. FINAS tidak mengamalkan sikap pilih kasih tetapi kualiti skrip adalah penting dalam pembahagian DKD.

“Contohnya, dua filem tempatan yang mendapat DKD dan ditayangkan sempena Tahun Baru Cina (CNY) baru-baru ini antaranya ‘All In’ yang mendapat kutipan tiket lebih RM5 juta.

“Sementara ‘Rain Town’ walaupun mendapat kutipan tiket lebih RM300,000 kerana ia bukan filem komersial tetapi banyak memenangi award. Kedua filem ini adalah antara 13 filem yang ditayangkan sempena CNY.

“Melalui kajian yang kami lakukan ada filem yang mendapat dana tetapi kutipan tiket hanya RM5,000 sahaja kerana statistik penonton pada minggu pertama adalah mereka yang berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun yang lebih meminati filem aksi.”

FILEM “Rain Town” memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina apabila ditayangkan di pawagam.

Dana TV hanya ketika PKP

Menyentuh keluhan para penerbit yang mempunyai lesen FINAS sukar mendapat peluang untuk menerbit drama dengan stesen televisyen, Azmir Saifuddin Mutalib berkata;

“Pihak kami tahu jika mengikut maklumat data seramai 1,500 syarikat berdaftar tetapi hanya 500 yang aktif dan 90 peratus daripadanya menerbit drama.

“Tetapi FINAS hanya ada lesen pawagam dan tidak ada lesen MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) apa yang boleh kami usahakan berunding dengan TV3 dan TV Hijrah.”

Ditanya mengenai dana menerbitkan drama dan ketelusan dalam pengagihan projek drama beliau berkata;

“Stesen TV tidak ada dana dan FINAS tidak boleh menegur dalam soal pembahagian projek drama yang dilaksanakan oleh mereka.

“Bagaimanapun FINAS ada memberi dana khas semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun 2021 untuk membantu para penerbit menghadapi fasa pandemik.

“Pihak kami berhasrat bagi sebanyak mungkin DKD khas itu tetapi bajetnya tidak besar dan penerimanya memang terhad. Saya pasti setiap projek ada SOP tertentu (Prosedur Operasi Standard) dan pihak stesen TV hanya mengagihkan DKD kepada yang berkualiti.

RASHID SIBIR

“Sayangnya apabila PKP berakhir masalah yang dihadapi syarikat penerima untuk mendapatkan para pelakon yang dijanjikan dan ini menjurus kepada kualiti penerbitan jatuh. Mereka tidak boleh jadikan alasan berakhirnya PKP pelakon banyak job.”

Menjawab keluhan Penerbit dan Pengarah tersohor, Rashid Sibir mengenai hanya ‘blue eyes’ mendapat projek drama TV, Azmir Saifuddin Mutalib berkata;

“Dalam soal ini pihak kami tidak ada kuasa tetapi TV swasta lebih utamakan rating. Saya pasti keutamaan mereka bila nampak syarikat penerbitan berjaya mereka akan bagi projek untuk mengulang kejayaan.

“Pihak kami ada berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia,, Datuk Suhaimi Sulaiman mengenai pelbagai isu dan beliau dalam usaha mahu ‘rebranding’ RTM.”

Apresiasi filem jelajah universiti

Melalui Program Latihan, FINAS merancang menbawa apresiasi filem menjelajah universiti dengan membawa mereka yang berpengalaman dalam industri filem untuk menerapkan budaya mentor dan mentee.

“Anak-anak muda tidak tahu siapa mentor dan rujukan mereka apabila buat filem. Kadang-kadang mereka belajar mengenali melalui internet dan tiada rujukan.

“Kami mahu menjalinkan hubungan mereka dengan ‘sifu-sifu’ dalam bidang perfileman kita antaranya Hafsham dan Datuk Rahim Razali.

“Bagi saya, format Hafsham ketika itu amat berkesan ceritanya pada generasi muda walaupun beliau buat filem komedi kerana beliau sudah ada struktur yang betul dengan siri komedi bersiri ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ dengan ada rehearsel, bacaan skrip. Pengalaman dan kemahirannya amat penting agar generasi muda ada pengetahuan,” kata Azmir Saifuddin Mutalib.

Beliau memberitahu FINAS cuba untuk menerapkan budaya mentor dan mentee agar yang muda masih ada rujukan dan jangan menyanjung pengarah luar negara kerana Malaysia masih ramai karyawan yang hebat.

Disamping itu, beliau merancang untuk mengadakan minggu apresiasi filem lama agar generasi muda meminati filem tempatan dan tidak lupa kepada mereka yang telah memberi sumbangan kepada industri filem kita.

“Kami akan bermula dengan Aswara, UiTM, UUM dan semua universiti di negara ini,” kata Azmir Saifuddin Mutalib dengan penuh semangat.

Menyentuh mengenai perancangan FINAS, beliau memberitahu melalui perbincangan dengan Ahli Perbadanan, FINAS akan memastikan ia sentiasa relevan dan memberi khidmat yang terbaik demi memastikan industri kreatif betul-betul profesional sebagai pemacu ekonomi.

“Sebab itu, kami mahu profesionalkan industri ini sebaik mungkin. Kami akan pastikan semua kru di belakang tabir ada insuran, perkeso dan kontrak setiap kali memasuki lokasi penggambaran.

“Demi membangunkan industri ini, kita mesti ada semua komponen termasuk latihan yang lebih sistematik kerana peluang industri kita dilatih ke peringkat antarabangsa terbuka luas apabila produksi luar negara menjalani penggambaran di Malaysia,” kata Azmir Saifuddin Mutalib penuh harapan.

Leave a Reply