ATLET-ATLET skuasy wanita yang akan disenaraikan ke Program Jejak Cepat LA2028, Aira Azman (kiri), Aifa Azman (dua dari kiri) dan S. Sivasangari (kanan). – Foto MOM 

JAWATANKUASA Laluan Emas (Road To Gold – RTG) hari ini mengumumkan penubuhan Program Fast Track (Jejak Cepat) dengan misi membentuk atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun serta berpotensi untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Program Jejak Cepat menumpukan dua jenis sukan berprospek pingat emas temasya ke-34 tersebut iaitu akuatik terjun dan skuasy (kali pertama dipertandingkan dalam Sukan Olimpik).

RTG telah bersetuju untuk meluluskan Program Fast Track ini dan akan bekerjasama dengan MSN untuk memastikan atlet terpilih mendapat sokongan mencukupi untuk mencapai kecemerlangan.

“Misi program ini adalah untuk:

• Meningkatkan pencapaian pingat Olimpik negara
• Menambah penyertaan kontinjen dalam lebih banyak sukan Olimpik
• Mencari atlet yang mampu memenangi pingat dalam sukan Olimpik lain selain
badminton, terjun dan berbasikal
• Menambah bilangan atlet yang layak ke Sukan Olimpik LA2028,” lapor siaran media kementerian selepas mesyuarat RTG yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria di Majlis Sukan
Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Kriteria pemilihan Program Jejak Cepat:
• Pemenang pingat Sukan Olimpik
• Pemenang pingat Sukan Asia dan Komanwel
• Pemenang pingat Kejohanan Dunia
• Ranking Olimpik antara 16 terbaik dunia
• Ranking antara 20 terbaik dunia.

BERTRAND Rhodict Lises yang turut telah layak ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini malah disenaraikan dalam Program RTG mulai hari ini serta dikenal pasti bagi perintis Program Jejak Cepat LA2028. – Foto MOM

“Program ini selaras pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengenai 35 jenis sukan LA2028 dengan lima yang baharu ialah besbol/sofbol, kriket, flag football, lacrosse dan skuasy,” tambah kenyataan itu.

Pencapaian yang ditetapkan bagi Jejak Cepat:
• 2024: Ranking antara 20 teratas dunia
• 2026: Ranking antara 12 teratas dunia
• 2027: Ranking 10 teratas dunia
• 2028: Layak ke LA2028 dan pencabar pingat.

Pertandingan yang ditetapkan bagi Jejak Cepat:
• 2024: Sukan Olimpik Paris
• 2025: Sukan SEA Thailand, Sukan Remaja Komanwel dan Sukan Remaja Asia
• 2026: Sukan Olimpik Remaja Dakar, Sukan Komanwel dan Sukan Asia Aichi-Nagoya
• 2027: Sukan SEA Malaysia
• 2028: Sukan Olimpik LA2028
• 2032: Sukan Olimpik Brisbane.

Mengenai skuasy lapor kenyataan itu, MSN dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) telah pun memulakan perbincangan untuk Sukan Olimpik LA2028 melalui bengkel anjuran mereka dan ISN, 19 Februari lalu.

Mulai selepas Olimpik Paris, empat pemain skuasy negara yang telah dikenal pasti bagi Jejak Cepat ialah Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman yang ketika ini dalam Program Podium. — BebasNews

BERTRAND Rhodict Lises diapit Ketua Kontinjen dan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Amin (kiri) dan Datuk Nicol Ann David yang juga bekas ratu skuasy dunia. – Foto MOM

Leave a Reply