Dr Sharifah Sulaiha

SETAHUN yang lalu, beliau menerima berita yang menggoncangkan hidupnya iaitu dirinya mengidap kanser kolon. Ketika itu bulan Februari 2023, terasa dunia kehidupannya seolah runtuh.

Namun, menjelang bulan Julai pada tahun yang sama, Dekan Pusat Pengajian Perubatan IMU, Profesor Dr Sharifah Sulaiha Syed Aznal kembali bertugas selepas menempuh sebahagian rawatan kemoterapi.

Apa yang memotivasinya? Jawapannya mudah: Anak-anaknya. Beliau menjadi contoh hidup untuk mereka, mengajarkan bahawa walaupun menghadapi rintangan besar, hidup tidak berakhir.

Pandangan positif beliau mencipta impak yang jelas dalam perjalanan pemulihan. Beliau tidak mahu disalahertikan sebagai orang yang mencari simpati. Sebaliknya, beliau ingin menyampaikan mesej mudah: “Cahaya sentiasa ada di hujung terowong, dan jangan pernah berputus asa.”

Dr Sharifah Sulaiha dan keluarganya

Kisah Prof Sulaiha bermula dari pengamatan terhadap ibu bapanya, terutamanya bapanya yang berperanan besar sebagai pendidik dan pemimpin komuniti. Beliau membesar dengan nilai-nilai keberanian, ketabahan, dan semangat untuk sentiasa mencuba.

Awalnya, beliau tidak pernah membayangkan menjadi seorang doktor. Ayahnya, seorang pendidik yang berpengaruh, memberikan nasihat yang mengubah pandangan beliau. Hasilnya, Prof Sulaiha memasuki bidang perubatan dan akhirnya menjadi pakar obstetrik dan ginekologi.

Menyorot kembali pengalaman di Terengganu, beliau berdepan dengan realiti cabaran sistem kesihatan. Suatu peristiwa cukup mendalam mengenai seorang ibu yang melahirkan di kawasan terpencil, menjadikan beliau bertekad untuk membuat perubahan. Usahanya diakui dengan kejayaan hospital tempat beliau bertugas.

Beliau tidak hanya menjadi seorang doktor yang berjaya tetapi juga seorang pejuang hak doktor. Usahanya dalam mendukung elaun tugas atas panggilan untuk doktor muda menunjukkan bahawa setiap individu boleh berbuat sesuatu, sekalipun kecil.

Pada hari graduasi di Universiti Glasgow, Scotland.

Penglibatan beliau dalam pendidikan perubatan membawanya ke posisi dekan di Fakulti Perubatan IMU. Beliau terus berusaha untuk merancang inisiatif yang memberikan impak besar, termasuk penempatan kerja sebagai sebahagian daripada dasar universiti.

Pandangannya terhadap kesihatan wanita, khususnya isu pengambilan ujian pap smear, memotivasikan beliau untuk menyuarakan kepentingannya. Beliau menegaskan perlunya pendidikan awam yang lebih terarah untuk mengatasi rasa malu dan kurang kesedaran mengenai kesihatan wanita.

Bebekalkan keyakinan tinggi kepada sang pencipta, Prof Sulaiha kekal positif walaupun menghadapi cabaran peribadi. Semangat “saya mahu mengambil masa ini untuk memastikan orang lain mendapat manfaat daripada apa yang saya lakukan” menunjukkan dedikasinya untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

Kisah Prof Sulaiha mengajar kita untuk mengatakan ‘ya’ kepada cabaran hidup, mencari cahaya di tengah-tengah gelap, dan tidak pernah berputus asa dalam mewujudkan perubahan.

— BebasNews

Leave a Reply