MOHAMADOU Sumareh dan Natxo Insa (tiga dan lima dari kanan) selepas Malaysia menambat Korea Selatan 3-3 di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar pada 25 Januari lalu. – Foto FAM

KIM Pan-gon mengekalkan 21 daripada 26 pemain Harimau Malaya pada Piala Asia, Januari lalu bagi kem latihan pusat mulai 8 Mac ini menjelang menentang Oman dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D pada 21 dan 26 Mac ini.

Ketua jurulatih negara ini juga menamakan 12 lagi pemain termasuk 10 daripada skuad pelatih Bawah 23 tahun kendalian Juan Torres Garrido yang akan menghadapi Piala Asia B-23 juga di Qatar dari 15 April hingga 3 Mei ini.

Laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melaporkan, 33 nama yang dipanggil kali ini tanpa lima pemain Piala Asia iaitu Natxo Insa, Syahmi Safari, Afiq Fazail, Ahmad Khuzaimi Piee dan Mohamadou Sumareh yang hanya diletakkan dalam senarai bersedia 20 orang jika terdapat perubahan senarai asal.

Hanya Afiq (gambar atas kanan, 20), Sumareh dan Natxo (gambar bawah kiri, 24) yang sempat merasai perlawanan Kumpulan E Piala Asia 2023/2024 di Stadium Al Janoub, Al Wakrah dan Stadium Jassim Hamad, Doha ketika Malaysia dikalahkan Jordan 4-0 dan Bahrain 1-0 pada 15 dan 20 Januari lalu.

Natxo, 38, perantara kacukan Sepanyol-Malaysia, mengundang kecaman hebat ramai peminat kerana aksi longlainya menentang Bahrain selepas masuk menggantikan Syamer Kutty Abba dalam babak kedua.

Begitu juga betapa kurang menyerlahnya Sumareh sebagai pemain gantian di barisan depan dalam 10 minit terakhir dua perlawanan awal itu manakala Afiq bertahan selama 80 minit menentang Jordan sebelum digantikan sayap naturalisasi kelahiran Gambia itu.

Dua belas pemain dari luar skuad Piala Asia ialah Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, V. Ruventhiran, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim Rosli dan T. Saravanan.

Malaysia, penghuni ranking ke-132 dunia, kini menerajui Kumpulan D kelayakan dengan enam mata setelah mengalahkan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Stadium Perbandaran Taipei pada 16 dan 21 November lalu.

Skuad negara akan berdepan Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat sebelum melayan lawan Asia Barat itu di Bukit Jalil. Pasukan di ranking ke-80 dunia ini mengalahkan Taiwan 3-0 di Muscat namun dijinakkan Kyrgyzstan 1-0 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.

Laman FAM menambah, sebahagian daripada 33 pemain ini akan melapor diri lewat pada 15 Mac ini dan selepas kehadiran mereka, yang berusia bawah 23 tahun akan dilepaskan ke kem latihan pusat persediaan ke Piala Asia B-23 Kumpulan D menentang Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait pada 17, 20 dan 23 April ini.

Kata Pan-gon (gambar kanan), “kami faham kelab-kelab (Liga Malaysia) sedang menjalani latihan pramusim malah kalendar perlawanan antarabangsa hanya dibuka 18 hingga 26 Mac ini namun persediaan awal perlu dijalankan bagi menentang Oman dengan turut memanggil pemain-pemain skuad B-23.

“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat dan mengerti yang ada pemain akan kembali daripada bercuti dan hanya baru mula berlatih, sebahagiannya hanya akan melapor diri 15 Mac ini,” kata pengendali warga Korea Selatan berusia 55 tahun ini.

Sudah enam kali Malaysia bertemu Oman sejak 8 November 1987 dengan dua kemenangan berpihak kita termasuk 2-0 dalam Pestabola Merdeka tanggal 15 Ogos 2000 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur hasil jaringan Anuar Jusoh dan Rusdi Suparman.

Namun lawan berpesta gol 6-0 dalam pertemuan terakhir persahabatan antarabangsa A pada 26 Mac 2015 di Stadium Al-Seeb, Seeb.

SKUAD PELATIH KELAYAKAN PIALA DUNIA/PIALA ASIA:

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Endrick Dos Santos, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad, Syamer Kutty Abba, Junior Eldstal, Romel Morales (Johor Darul Ta’zim FC), Faisal Halim, Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, V. Ruventhiran, Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC), Suhaimi Husin, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan (Terengganu FC), Dominic Tan, Daniel Sang Ting, Stuart Wilkin, Darren Lok (Sabah FC), Azri Ab. Ghani, Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC), T. Saravanan (Sri Pahang FC), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Penang FC), Dion Cools (Buriram United), Brendan Gan (tiada kelab). – BebasNews

Leave a Reply