GAMBAR hiasan: Barisan pramugari Pakistan International Airlines (PIA). Kredit: Foto india.today

TERIMA kasih PIA.” Ini nota terakhir daripada seorang pramugari PIA (Pakistan International Airlines) atau Penerbangan Antarabangsa Pakistan, Maryam Raza.

Maryam bukan diculik atau membunuh diri. Sebaliknya dia sengaja menghilangkan diri di bumi Kanada. Dia merupakan salah seorang pramugari PIA dalam penerbangan dari Islamabad ke Toronto, mendarat pada 26 Februari lalu.

Namun dia gagal melapor diri untuk penerbangan balik keesokan harinya. Pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari dengan mengunjungi hotel tempat dia menginap di Toronto. Namun dia tidak ada di situ. Yang ada hanya pakaian seragam dan nota terima kasih.

Maryam menghilangkan diri dipercayai untuk mendapat suaka (asylum) di Kanada, negara di mana dikatakan memiliki polisi memberi suaka yang longgar. Kerana itu permohonan suaka mudah diluluskan.

Pesawat Penerbangan Antarabangsa Pakistan (PIA). Kredit: Foto NDTV

Sebenarnya Maryam bukan staf PIA pertama menghilangkan diri di Kanada. Menurut india.today, dia sekadar menurut jejak beberapa orang sebelumnya yang mengambil peluang daripada polisi longgar Kanada untuk memohon tinggal di negara itu. Ini dikatakan bermula sejak 2019.

Maryam bukan ahli politik yang memohon suaka kerana bimbang terhadap keselamatan. Tetapi dia letih dengan suasana politik yang sentiasa tidak stabil di Pakistan. Selain itu faktor gaji rendah juga menyebabkan dia kecewa dan ingin mencari padang lebih hijau.

Dia merupakan orang kedua menghilang di Kanada tahun ini, sehingga kini. Tahun lalu (2023), tujuh kaki tangan PIA ‘hilang’. Jurucakap PIA, Abdullah Hafeez Khan, menyalahkan dasar memberi suaka Kanada yang liberal sebagai punca ramai staf PIA mengubah haluan ke negara itu.

Maryam sepatutunya melaporkan diri untuk penerbangan balik ke Karachi pada 27 Februari sehari selepas sampai ke Toronto. Tetapi dia gagal berbuat demikian. Perjalanannya dengan tiket satu hala!

Pramugari PIA ketika bertugas dalam penerbangan. Kredit: Foto The Express Tribune

Pihak berkuasa pergi ke hotel dia menginap. Apabila pintu bilik dibuka, Maryam tidak ada. Yang tinggal hanya pakaian seragam dan nota “Terima kasih PIA”, syarikat yang menaunginya selama ini. Masih ada juga ingatan mesra terhadap bekas majikan.

Kehilangan Maryam berlaku sebulan selepas seorang lagi kru penerbangan, Faiza Mukhtar menghilang pada Janauri lalu. Menurut jadual tugasan, Faiza sepatutnya menyertai penerbangan kembali ke Karachi selepas sehari mendarat di Toronto. Namun dia gagal melapor diri. Kes Maryam sama seperti Faiza.

Kehilangan Maryam dan Faiza, serta beberapa staf PIA sebelumnya, sangat merisaukan PIA yang bergelut dengan masalah kewangan dan kredibiliti. Ia boleh menjejaskan nama baik syarikat penerbangan tersebut.

Pakistan sendiri sedang berhadapan masalah ekonomi serius. Negara itu bergantung kepada pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Dalam keadaan ekonomi dan politik tidak menentu ini, Pakistan hilang ramai cerdik pandai sejak 2023.

Kerana tidak pasti nasib masa hadapan, ramai berduyun-duyun meninggalkan negara itu mencari kehidupan baharu yang lebih terjamin di negara lain. Maryam dan staf PIA adalah antara mereka, meneruskan tradisi kehilangan staf PIA di Kanada sejak 2019.

Tahun lalu (2023), kru kabin PIA yang mendarat di Toronto dari Lapangan terbang Iqbal di Lahore, gagal melapor diri untuk penerbangan balik ke Islamabad pada Disember 2023. Ayaz Qurehi, Khalid Afridi dan Fida Hussain Shah dikatakan menyelinap selepas mendarat di Kanada pada Noivember dan Disember 2023.

Sementara polisi suaka Kanada dikatakan punca staf PIA menghilang, pakar ekonomi percaya gaji rendah serta ketidak pastian masa depan PIA, mendorong staf syarikat penerbangan itu menghilang untuk terus tinggal di Kanada daripada balik ke Pakistan.

Dengan trend menghilang diri yang semakin kerap, tidak mustahil lebih ramai staf PIA akan ‘hilang’ di Kanada. Kebanyakan kes selepas mereka mendarat di Toronto. Mampukah PIA khasnya dan kerajaan Pakistan amnya membendung fenomena ini?

— BebasNews

Leave a Reply