KUALA LUMPUR — Bersatu akan menghantar laporan mengenai pindaan Perkara 10 perlembagaan parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mendapatkan kelulusan, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, jika pindaan itu mendapat kelulusan RoS, maka ia akan dikuatkuasakan serta-merta.

“Kita harap Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) akan menerima kenyataan itu dan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi itu.

“SPR akan menetapkan tarikh untuk kita adakan pilihan raya kecil (PRK) di semua kawasan terbabit.

Ahli parti nampaknya cukup bersetuju dengan pindaan ini dan kita sudah mula membuat persiapan di kawasan terbabit untuk PRK diadakan,” katanya.

Pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Bersatu diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu hari ini, yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyat nya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Usul pindaan itu dikemukakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kemudiannya diluluskan selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir.

Muhyiddin yang ditanya jika pindaan peruntukan itu dicabar di mahkamah kelak, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata apa yang penting pihaknya mengambil langkah untuk menangani isu yang tiada dalam peruntukan sebelum ini dan ada parti lain turut mempunyai peruntukan sama.

“Kita sudah kaji dan merujuk kepada pakar perlembagaan dan pakar Akta Anti Lompat Parti, sama ada pindaan kita ini teratur dan jawapannya adalah teratur,” katanya.

Berhubung sama ada pindaan itu akan memberi kesan kepada Ahli Parlimen Bersatu yang membuat keputusan bertentangan dalam undian di Parlimen, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak penting buat masa ini.

“Bila parti sudah buat keputusan, itu pendirian dan dasar parti. Sebagai ahli, ikutlah keputusan parti dan apabila langgar, ia jadi satu kesalahan,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin yakin, Perikatan Nasional (PN) akan menang besar di semua enam kerusi Parlimen berkenaan jika PRK diadakan.

“Kita pulangkan semula mandat kepada rakyat di enam kawasan ini dan saya harap tiada lagi di kawasan lain, bukan saja di Parlimen tapi juga di Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply