Rafidah Aziz

Kenyataan Media Tentang Sekatan SKMM Ke Atas Akaun Facebook Tan Sri Rafidah Aziz

Saya tidak dapat membayangkan apakah yang begitu “mengancam” mengenai posting Tan Sri Rafidah Aziz berkenaan Institut Jantung Negara (IJN) hinggakan akaun Facebook beliau (“Rafidah Aziz Malaysian Citizen”) disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)?

Beliau hanya merujuk pada peraturan baharu IJN tentang pesara yang menjadi isu panas di media arus perdana dan media sosial kebelakangan ini. IJN dikatakan terpaksa “melepaskan”  semua kakitangan Kerajaan dan pesara disebabkan oleh langkah-langkah penjimatan  wang oleh Kerajaan.

Tan Sri Rafidah berhak berasa kecewa dan marah dengan tindakan SKMM. Beliau sewajarnya berpandangan “sekarang kita tidak boleh lagi memberikan pandangan sahih yang membabitkan rakyat, dalam hal ini, golongan pesara.”

SKMM sebelum ini telah dikecam teruk kerana memanggil editor dan menyekat saluran berita yang dianggap tidak menyenangkan pemerintah. Hal ini berlaku walaupun Perdana Menteri sendiri mengatakan beliau mengalu-alukan teguran dan pandapat yang berbeza.

SKMM sepatutnya memastikan proses pengawasan yang lebih telus bagi memastian wujudnya eko-sistem untuk media yang bebas dan adil.

Dengan ini saya menggesa Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan SKMM meminta maaf secara terbuka pada seorang mantan menteri kanan, Tan Srfi Rafidah.

Dengan ini  saya juga mencadangkan agar peranan pengawasan oleh SKMM dirujuk pada sebuah Jawatankuasa peringkat Parlimen agar badan itu tidak disalahgunakan untuk mengekang hak  bersuara dan kebebasan media di negara ini.

Tan Sri Johan Jaaffar

Wartawan Veteran

— BebasNews

Leave a Reply