Cuit Zaini HassanSERING kita mendengar para penyokong totok sekolah vernakular, khususnya sekolah Cina mendabik dada mengatakan aliran SJKC wajib dikekalkan kerana kekuatan bahasa Cina itu.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sendiri dalam Dewan Rakyat minggu lalu berkata, sekolah Cina mempunyai banyak keistimewaannya kerana sesiapa yang mahir bahasa Mandarin maka peluang kerja akan terbuka luas.

Beliau berkata demikian semasa mengkritik Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MKN), Profesor Emeritus, Datuk Dr Teo Kok Seong yang mempertahankan kenyataannya bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) adalah punca perpecahan ketara antara kaum di negara ini.

Ekoran itu, Teresa menuduh Dr Teo sebagai seorang rasis atau bersifat perkauman.

Walaupun saya amat setuju dengan pendapat Dr Teo itu, mari kita lihat ke hadapan.

Semua orang tahu, bahasa apa sekali pun boleh diajar di mana-mana sekali pun. Seorang pendatang asing Bangladesh atau Nepal mampu menguasai bahasa Melayu dalam masa enam bulan sahaja sebaik sahaja menjejaki dan bekerja di negara ini.

Mereka belajar bercakap Melayu setiap hari dengan orang tempatan, maka mereka boleh bertutur secara asas bahasa itu dengan cepat.

Namun, jika ia diajar di bilik darjah, mereka sudah tentu mampu menguasai dan menulis dengan baik. Bahasa Melayu pun bukan bahasa yang susah dikuasai.

Kita ambillah cabaran Teresa itu bahawa siapa yang menguasai bahasa Mandarin boleh pergi jauh dari segi ekonomi dan sosial. Maka, sesiapa yang tolak menguasainya akan gagal.

Amat rugi jika murid-murid bukan Cina tidak dapat menguasai bahasa itu atau bahasa apa sekali pun.

Oleh itu, kita terima cabarannya dan dicadangkan diajar wajib bahasa Mandarin di sekolah-sekolah rendah kebangsaan sebagai bahasa ketiga. Syaratnya, pengajarannya harus berkesan dan murid-murid kita wajib menguasainya dengan baik.

Ajar seperti mana sistem pendidikan Indonesia yang berjaya mengajar bahasa Indonesia tanpa loghat kedaerahan dari Aceh ke Merauke, Papua, dengan begitu baik sekali.

Tempatkan guru-guru yang mahir dan profesional. Jika boleh bawa guru-guru dari China untuk mengajar anak-anak murid kita.

Tidak perlu lagi orang Melayu atau India menghantar anak-anak mereka ke SJKC jika pengajaran dan pembelajaran bahasa Cina di sekolah kebangsaan lebih baik lagi.

Silap-silap murid-murid SJKC sendiri akan berhijrah ke sekolah kebangsaan.

Logiknya sekolah kebangsaan adalah untuk semua. Satu sistem sahaja. Namun oleh kerana tiada iltizam politik ke arah itu, maka sistem sekolah kebangsaan wajib diperkasakan.

Dulu saya pernah melontarkan cadangan jika mahu SJKC jadi seperti sebelum 70an — tiada sambutan, maka perkenalkan kembali aliran Inggeris, maka SJKC akan lenyap secara sistematik.

Tapi ia ditentang hebat oleh pejuang-pejuang bahasa kebangsaan. Perlu diingat itulah pendekatan yang Singapura buat bagi menutup mulut pengkritik masyarakat Cina waktu itu. Lee Kuan Yew mengekalkan dan memperkuatkan sistem Cambridge yang asalnya dari Malaya.

Kemudian mereka memperkenalkan Mandarin pula sebagai bahasa kedua.

Oleh kerana di Malaysia, cara itu tidak jalan, perkasakanlah SK. Naik tarafkan SK setaraf sekolah swasta atau antarabangsa.

Sekolah kebangsaan harus dimartabatkan semula seperti yang berlaku sebelum 1970an dahulu.

Pada masa itu budak Melayu, Cina, India gembira belajar dalam satu sekolah, satu aliran dan satu pemikiran — tidak timbul pun SJKC!

Fikir-fikirkanlah…

— BebasNews

2 COMMENTS

  1. Tahun 1987 dulu di sekolah kebangsaan ada subjek bahasa ibunda setiap minggu bertukar bahasa Melayu(jawi), bahasa Cina dan Tamil. Semua pelajar dapat belajar dan memahami bahasa dan budaya kaum masing-masing bersama-sama. Sekolah satu aliran jer cukup.

Leave a Reply