KUALA LUMPUR — Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini.

PNB dalam kenyataan berkata, jumlah pembayaran pengagihan sebanyak RM670 juta itu bakal memanfaatkan 552,297 pemegang unit.

Pengurus dana itu juga mengumumkan pengagihan pendapatan 4.75 sen bernilai RM1.33 bilion untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini yang bakal memanfaatkan 699,807 pemegang unit, lapor FMT.

Menurut PNB, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta, manakala ASM sebanyak RM1.42 bilion sehingga 25 Mac lalu.

“Kedua-dua dana memperoleh pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik serta antarabangsa dalam persekitaran inflasi tidak menentu serta kebimbangan terhadap peningkatan kemelesetan ekonomi.

“Kedua-dua dana juga menjana hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain, seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil.”

PNB berkata, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM bersamaan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.25% dan 4.75%, kedua-duanya mengatasi penanda aras deposit tetap 12-Bulan Maybank pada 2.84% sebanyak 241 mata asas bagi ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

“Pengagihan yang diisytiharkan dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik dalam akaun pemegang unit pada 1 April ini.”

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan serta ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac ini bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan semula urus niaga di portal myASNB atau aplikasi mudah alih myASNB, mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 April nanti.

— BebasNews

Leave a Reply