AGUS Salim Abdul Rahman (depan, empat dari kiri) dalam kesebelasan utama Selangor menentang Kastam Vietnam dalam pusingan pertama Kejohanan Kelab-kelab Juara Asia 1967.

LEGENDA bola sepak Selangor dan Malaysia era 60-an, Agus Salim Abdul Rahman kembali ke rahmatullah semalam, umum Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) hari ini.

Beliau yang dilahirkan pada 17 Januari 1947 dan dikatakan menetap di Ampang, Selangor, menghembuskan nafas terakhir dalam usia 77 tahun.

Allahyarham merupakan penyerang tengah Selangor yang muncul naib juara Kejohanan Kelab-kelab Asia 1967 setelah dikalahkan kelab Israel, Hapoel Tel Aviv 2-1 di depan 12,000 penonton Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok pada 19 Disember 1967.

Agus menolak masuk gol pendahuluan final itu setelah tangkapan bola penjaga gol lawan terlucut gara-gara sepakan percuma deras Raja Bola, Abdul Ghani Minhat (Allahyarham Tan Sri) pada minit ke-54.

Beliau juga dilaporkan membantu Malaysia menduduki tempat keempat Pestabola Merdeka 1967 setelah ditewaskan Vietnam Selatan 2-1 pada 25 Ogos tahun itu.

Terdahulu skuad negara disekat Korea Selatan 3-1 pada separuh akhir dan muncul naib juara Kumpulan B tanpa kalah yang turut disaingi India, Hong Kong, Australia Barat dan Thailand.

Agus turut berjaya menjulang Piala Malaya buat Selangor tanggal 6 Ogos 1966 yang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 1-0 menerusi jaringan sepakan penalti kapten, Abdullah Yeop Noordin (Allahyarham).

Biarpun dikalahkan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaya tanggal 31 Julai 1965 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, beliau membawa Selangor mengejutkan pelawat seberang Tambak Johor itu menerusi rembatan kaki kirinya daripada tolakan Arthur Koh (mendiang) pada minit ke-57.

Laporan Yakeb menyebut, Agus yang turut bersaudara dengan pengacara dan pelakon terkenal, Datuk Aznil Nawawi (adik iparnya), sempat dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.

AGUS Salim Abdul Rahman (baris tengah membongkok, empat dari kiri) bersama-sama pemain dan pegawai Selangor yang berdepan kelab Korea Tungsten Company dalam separuh akhir Kejohanan Kelab-kelab Juara Asia 1967 di Stadium Hyochang, Seoul.

“Turut menziarahinya semalam di HCTM ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan kalangan yang beriman,” lapor Yakeb menerusi laman Instagramnya, hari ini. – BebasNews

Leave a Reply