Kenangan…Fahmi Fadzil menghadiahkan cenderahati berupa pen berjenama mahal sempena Hari Guru kepada Cikgu yang beliau hormati, Syed Wafa.

SEJAK bertugas sebagai wartawan bebas adengan Portal BebasNews lima tahun lalu, saya memang tidak membuat liputan sidang akhbar atau majlis-majlis yang melibatkan ramai wartawan.

Bukan saya tidak diundang tetapi saya meletakkan batasan tertentu kerana bagi saya pada usia mencecah 60an saya lebih selesa bergerak sendiri.

Saya menulis berdasarkan isu semasa mengenai dunia hiburan atau cerita menarik mengenai seorang artis dan yang paling penting sentiasa berpegang pada prinsip yang saya tidak akan menulis tentang gosip.

Berpegang pada itu, sejak mula menulis pada Januari 2019 sehingga hari ini, saya hanya menulis lima artikel sebulan dan sehingga kini saya telah menulis 315 artikel yang saya pasti tidak sama dengan yang lain.

Walaupun selama ini saya mengelak membuat liputan sidang akhbar ataupun seorang menteri menyantuni artis veteran, tetapi semalam saya ‘mengaku kalah’ apabila menerima mesej daripada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib yang
mengundang saya ke majlis Program Ziarah Seni Madani, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersama penyanyi Zaiton Sameon pada jam 11 pagi, di kediamannya di Bukit Indah, Ampang.

Saya sekadar menjawab, “Insya-Allah dan terima kasih Datuk.”

Saya mempunyai sebab mengapa menerima undangan tersebut dan turut serta sahabat saya, youtuber popular dan pemilik WAFA TV, Syed Wafa, hari ini kami pergi berasingan ke rumah Zaiton.

Lebih kurang pukul 11.15 pagi, kami diberitahu ketibaan Fahmi Fadzil yang turut diiringi Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, Azmir Saifuddin Mutalib dan disambut oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

Saya duduk jauh daripada Zaiton Sameon tetapi bersebelah dengan Kamil Othman dan seperti yang diduga, apabila melangkah masuk ke rumah Zaiton Sameon saya lihat Fahmi Fadzil bagaikan terkejut apabila melihat Syed Wafa di belakang saya.

Mungkin ramai tidak tahu ‘rahsia’ antara mereka berdua dan saya juga hanya tahu beberapa bulan lalu apabila menerima sekeping gambar daripada seseorang melalui sistem whatsApp.

PERTEMUAN bersejarah…setelah hampir 30 tahun akhirnya Syed Wafa dapat bertemu muridnya, Fahmi Fadzil.

Sebenarnya antara Fahmi Fadzil dan Syed Wafa mereka mempunyai hubungan antara seorang murid dengan guru!

Syed Wafa adalah guru Muzik dan pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Di sekolah itulah, Syed Wafa mengajar anak-anak menteri antaranya anak Tun Dr. Mahathir Mohd., Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, Marina Mahathir dan ramai lagi.

Nurul Ilham Datuk Seri Anwar antara anak murid Syed Wafa

Dan…hari ini setelah hampir tiga dekad dua insan yang pernah ditemukan di bawah satu bumbung sebagai seorang murid dan guru ditemukan pada satu majlis amat sederhana tetapi meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat mereka tetapi kami yang menyaksikan!

Fahmi Fadzil yang ditanya mengenai Cikgunya, Syed Wafa, berkata;

“Saya sayang dan pada waktu yang sama takut pada cikgu-cikgu saya. Cikgu Wafa garang tetapi baik hati.

“Emak dan ayah begitu tegas dan mereka selalu ingatkan… anak murid mesti disiplin dan harus ada rasa hormat dan rasa takut pada cikgu.

“Saya hormat cikgu-cikgu tetapi kadang-kadang ada rasa takut.”

Menurut Fahmi Fadzil, beliau belajar di Malaysia sehingga umur 18 tahun dan pada usia 19 tahun beliau melanjutkan pengajian di Universiti Purdue, Indiana, Amerika Syarikat.

Apabila diberitahu mengenai perkembangan cikgunya yang kini merupakan Editor Portal Ladybosz yang semakin mendapat sambutan dan pernah menjadi Editor Majalah Oh Gee disamping aktif sebagai seorang youtuber dan memiliki WAFA TV, beliau berkata;

“Saya tahu dan gembira serta bangga sebab keterlibatan beliau dalam bidang ini. Saya akan berjumpa dengan cikgu saya tidak lama lagi.”

Sementara itu, Syed Wafa ketika ditanya mengenai Fahmi Fadzil, berkata;

“Sejak kecik Fahmi sudah terserlah sikap kepimpinannya. Beliau telah dilantik sebagai pegawas dan aktif dalam bidang kokurikulum.

“Beliau juga meminati seni dan aktif berlakon teater. Saya masih ingat beliau terpilih menjadi hero dalam teater sekolah iaitu ‘Siti Norlela.’

“Beliau juga seorang murid yang bijak dan menghormati guru. Saya perhatikan sejak kecil beliau memang seorang yang bercita-cita tinggi. Saya bangga mempunyai seorang murid yang sentiasa ingin berjaya hingga ke puncak.”

Potret Michael Jackson yang amat bernilai.
SYED Wafa mengabadikan kenangan bersama megastar, Michael Jackson pada tahun 1996.
Poster konsert Michael Jackson ketika Syed Wafa berpeluang bertemu beliau pada tahun 1996
Lukisan Celine Dion yang diberi kepada beliau sendiri.
Celine Dion terharu menerima potret yang dilukis oleh pelukis terkenal Syed Wafa.
Potret Mariah Carey yang cantik menawan.
Mariah Carey juga mengagumi karya Syed Wafa
Lukisan yang menjadi kenangan indah Justin Bieber di Malaysia
Justin Bieber kagum dengan karya Syed Wafa
Potret Whitney Houston yang menjadi kenangan
Bersama penyanyi legenda Whitney Houston

Menariknya, Syed Wafa pernah melukis potret artis-artis terkenal luar negara antaranya Megastar Michael Jackson, Celine Dion, Mariah Carey, Whitney Houston, Justin Bieber dan ramai lagi. Lukisan tersebut disampaikan kepada selebriti itu sendiri.

Pihak FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) juga bakal menerbitkan buku koleksi Wafa, menghimpunkan karya-karya hebat beliau yang pernah disiarkan di Majalah URTV dengan nama “Wajah dan Madah.”

Perbincangan mengenai penerbitan buku “Wajah dan Madah” bersama dengan bekas Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid yang telah diadakan pada tahun 2021 dan 2022.

Leave a Reply