Light and Bokeh
Gambar hiasan -- Photo by Praveen kumar Mathivanan on Unsplash

KERAJAAN menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap bahaya mercun dan bunga api yang boleh mengganggu ketenteraman awam, kesejahteraan dan mencemar alam sekitar.

Banyak kes-kes rampasan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang bernilai beratus ribu ringgit kerana tidak mengikut peraturan dan mendapat permit daripada pihak polis.

Malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya membenarkan jenis-jenis bunga api dan mercun tertentu sahaja untuk diimport, disimpan dan dijual ketika musim perayaan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mempunyai garis panduan jelas dalam pemantauan penjualan serta permainan mercun dan bunga api.

Peraturan dan pemantauan penting kerana bahan ini merbahaya mudah terbakar, boleh mencederakan, membuat bising dan mencemar alam sekitar terutama pencemaran udara.

Ketegasan PDRM dalam hal membakar mercun dan bunga api ini selalu diperingatkan dalam media dan orang ramai tidak boleh bermain bunga api melebihi jam 12 tengah malam yang mana boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1995 (Akta 336) yang membawa hukuman penjara atau denda sekiranya ingkar.

Penjualan mercun secara terbuka tanpa permit juga boleh dirampas.

Dalam Islam telah diputuskan bahawa bermain mercun dan bunga api adalah harus dengan syarat tidak membahayakan, tidak mengganggu jiran tetangga, ada pemantauan orang dewasa apabila kanak-kanak bermain dan tidak boleh menyebabkan kebakaran atau kerosakkan harta benda.

Sekiranya tidak memenuhi syarat di atas dan dianggap salah disisi undang-undang seperti yang termaktub dalam Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), bemain mercun dan bunga api hukumnya haram dan mesti dijauhi oleh umat Islam.

Apabila bunga api dibakar, bahan kimia bertindakbalas mengeluarkan bunyi dan asap di udara.

Bahan kimia yang dihasilkan termasuk karbondioksida, karbon monoksida dan nitrogen oksida.

Gas ini adalah Gas Rumah Hijau (GHG) yang memberikan banyak kesan kepada kualiti udara dan perubahan iklim.

Selain itu bunga api juga menghasilkan partikel termasuk logam seperti plumbum, kuprum, aluminium, lithium, barium dan arsenik yang memberikan kesan negatif kepada kesihatan manusia.

Di sampinh itu karbon hitam, sulfur juga dihasilkan di ruang udara.

Bahan-bahan kimia yang digunakan adalah untuk menghasilkan bunyi yang kuat, cahaya yang terang dan mengeluarkan pelbagai warna yang menarik disamping asap di udara.

Antara kesan pencemaran udara akibat daripada pembakaran mercun dan bunga api adalah mengganggu sistem pernafasan, keradangan saluran pernafasan, batuk, sesak nafas dan boleh juga menyebabkan serangan jantung dan penyakit asma termasuk membahayakan ibu mengandung.

Pembakaran bunga api secara besar-besaran di musim perayaan boleh menyumbang kepada peningkatan haba dan GHG di atmosfera.

Bahan kimia termasuk partikel halus akan mendap ke bumi dan boleh mencemarkan air tasik dan sungai.

Gas dan partikel juga boleh berada di udara dalam masa tertentu sehingga hujan turun membawa bahan kimia ke permukaan bumi.

Selain itu sisa pembakaran mercun dan bunga api juga menjadi sampah yang akhirnya masuk kedalam longkang dan sungai.

Pemendapan gas dan partikel dari udara akan memberikan kesan kepada tumbuh-tumbuhan termasuk tanaman pertanian, benih-benih tanaman, haiwan ternakan, dan serangga seperti menyebabkan keracunan, penyakit dan kurang produktiviti.

Banyak juga kes-kes kecederaan mata, terbakar atau melecur anggota kanak-kanak dan orang dewasa seperti tangan dan jari akibat daripada percikan api atau letupan.

Pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan dan PBB juga memberikan perhatian kepada aktiviti dan kesan pembakaran mercun dan bunga api yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan hidupan lain serta alam sekitar amnya.

Pihak Berkuasa Tempatan mesti mempunyai peraturan keselamatan yang ketat seperti kebenaran khas mengeluarkan, mengimpot, menyimpan, menjual dan pemantau penggunaan bunga api dan mercun.

Walaupun permainan bunga api and mercun bagi sesetengah pihak memberikan kegembiraan, keseronokan dan boleh mengurangkan tekanan perasaan, namun lebih banyak bahaya daripada kebaikan.

Bunyi yang kuat juga tidak selamat bagi kanak-kanak, malah haiwan seperti kucing dan anjing juga amat ketakutan dan fobia mendengar bunyi letupan dan dentuman itu.

Ada laporan bunyi letupan yang kuat boleh merosakkan gegendang telinga kanak-kanak.

Sempena hari raya dan ibadat bulan puasa bagi orang Islam, adalah dianjurkan untuk menghidupkan malam raya dengan membanyakkan takbir dan ibadat-ibadat sunat serta merapatkan silaturahim ahli keluarga yang berkumpul. Main mercun itu bukan budaya kita.

— BebasNews

Leave a Reply