LIBASAN kalih atau Maniam Noraizat Nordin atau digelar Ijat Bangau kerap mendapat perhatian para penonton Piala Puteri Diraja di Bangkok kerana keunikannya berbanding rejaman gulung yang sudah begitu sinonim di Thailand. Kiri ialah Seksan Tubtong. – Foto RBTC 

SHAHALRIL Aiman Halim, naib juara beregu Piala Tun Ali 2023 di Melaka bersama-sama Seksan Tubtong bakal mengurangkan kekuatan cabaran antara regu Malaysia dalam Piala Dunia Istaf jika disenaraikan sebagai perejam simpanan beregu. – Foto RBTC

SEMAKIN pasti Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi yang menjadi pertaruhan Malaysia dalam acara beregu Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 18 hingga 26 Mei ini.

Kemaraan ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Thailand Piala Puteri Diraja Ke-35  kelmarin, mewajarkan pemilihan mereka berbanding satu lagi gandingan negara di Bangkok itu, Shahalril Aiman Halim dan Norfaizzul Razak.

Shahalril/Norfaizzul atau digelar Abang-Uda yang turut mewakili Tentera Laut Thailand (TN-PSM) terkandas seawal pusingan kedua dengan dua kekalahan termasuk pada peringkat Kumpulan C.

Ijat-Aidil disekat ‘lawan keras’ Thailand juga TN 8-15, 13-15 yang seorang daripada pemainnya, Seksan Tubtong, pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 dan 2017 serta Sukan Asia 2018 yang juga perunding pasukan Malaysia secara berkala (setiap tiga bulan) bagi acara beregu sejak awal Februari lalu.

Jika sah mereka yang disandarkan harapan beregu negara di Stadium Titiwangsa, maka kedua-duanya pasti tidak boleh bermain acara antara regu yang dijadualkan berlangsung serentak dari 18 hingga 22 Mei ini.

Pada 31 Mac lalu, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) selaku penganjur Piala Dunia Kelima ini bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), mengumumkan setiap penamaan pemain bagi kedua-dua acara itu bagi Divisyen Perdana wajib diasingkan.

Soalnya bagi PSM dan barisan jurulatih negara, siapakah pemain simpanan yang akan dinamakan mereka khususnya perejam dalam acara beregu?

Mengekalkan Abang di situ juga akan mengurangkan kekuatan cabaran antara regu Malaysia khususnya barisan simpanan yang tampak mengutamakan Syahir Rosdi, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan).

Yang tinggal dalam senarai perejam atau apit kanan negara di kem latihan pusat Program Podium di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sekarang ialah Baihakki A’ripin, Redwan Hakim Muhammad dan Fetri Azwadi.

GAMBAR KANAN: Noraizat Nordin (kiri) dan Aidil Aiman Azwawi jelas lebih menyerlah di Bangkok untuk dipertaruhkan bagi cabaran beregu Malaysia pada Piala Dunia Istaf, bulan depan. – Foto RBTC

Antara mereka, hanya Redwan yang berpengalaman antarabangsa apabila pernah membantu mengalungi Malaysia pingat perak acara regu berpasukan Sukan SEA Vietnam 2022 dan berkemungkinan dipilih sebagai perejam simpanan beregu bagi Piala Dunia Istaf.

Kesemua 12 negara peserta Divisyen Perdana Piala Dunia Istaf dikatakan diberi batas waktu sehingga akhir minggu ini untuk menamakan 12 pemain mereka manakala enam pemain bagi Divisyen Satu (hanya beregu dan antara regu). — BebasNews

Leave a Reply